arena

Sesi kelayakan GP Jepun dibatal

Oleh AFP

KESELURUHAN program trek termasuk sesi kelayakan Grand Prix Jepun, esok dibatalkan akibat kebimbangan Taufan Hagibis melanda sirkit Suzuka, umum penganjur perlumbaan, hari ini.

Ia bermakna sesi kelayakan akan diadakan pada 10 pagi Ahad (9 pagi waktu Malaysia) dengan perlumbaan penuh bermula 2.10 petang (1.10 petang Malaysia).

Sirkit Suzuka akan ditutup dengan orang awam dan media tidak dibenarkan atas faktor keselamatan disebabkan Hagibis membawa hujan lebat dan angin kencang melebihi 200 kilometer sejam (125 bsj) yang dijangka tiba esok.

“Sebagai kesan daripada ramalan impak Taufan Hagibis terhadap GP Formula Satu (F1) Jepun, Mobilityland dan Persekutuan Otomobil Jepun mengambil keputusan membatalkan semua aktiviti dijadualkan berlangsung pada Sabtu,” menurut kenyataan badan induk permotoran antarabangsa, FIA, hari ini.

“FIA dan F1 menyokong keputusan dibuat demi keselamatan penonton, pelumba, pasukan dan setiap orang di sirkit Suzuka.

Keputusan itu juga bermakna pasukan dan pemandu hanya akan melalui dua sesi latihan Jumaat untuk persiapan kelayakan pagi Ahad kerana sesi ketiga tidak akan dijadual semula.

Jika kelayakan tidak dapat diteruskan pagi Ahad kerana cuaca kurang baik ia bermakna penentuan petak perlumbaan akan dibuat berdasarkan sesi latihan bebas kedua hari ini, kata FIA pada kenyataan lanjutan mereka.

Sesi kelayakan F1 di Jepun pernah diubah kepada Ahad pada 2004 dan 2010 disebabkan cuaca buruk.

Disiarkan pada: October 11, 2019 @ 4:21pm
d