arena

RM299 juta Program Sukan Untuk Semua

Oleh Nor Hairulnizam Wahid

HARAPAN negara untuk meraih kecemerlangan di Sukan Olimpik Tokyo tahun depan serta potensi besar e-Sukan terhadap negara menjadi fokus ketika sesi Belanjawan 2020 yang dibentangkan hari ini.

Bagaimanapun, peruntukan lebih besar diperuntukkan untuk melahirkan masyarakat bersukan apabila Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memperuntukkan RM299 juta untuk pelaksanaan Program Sukan Untuk Semua.

Jumlah itu termasuk peruntukan untuk memulih dan menaik taraf kemudahan sukan, termasuk Kompleks Belia dan Sukan serta Kompleks Sukan Komuniti seluruh negara.

Terdahulu, menyedari potensi tinggi e-Sukan, Guan Eng mengumumkan sejumlah RM20 juta diperuntukkan untuk e-Sukan pada 2020 sekali gus mengiktiraf potensi tinggi yang dimiliki sukan terbabit.

“Kerajaan mengucapkan selamat berjaya kepada pasukan Malaysia dan semoga memenangi sebanyak mungkin pingat emas Sukan SEA di Manila, Disember 2019,” katanya.

Sejumlah RM179 juta pula diperuntukkan untuk persiapan kejohanan antarabangsa seperti Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Sukan SEA Hanoi, termasuk pembangunan atlet paralimpik. Turut mendapat perhatian beliau adalah pembangunan bola sepak negara dalam usaha melahirkan lebih ramai bakat bola sepak pada masa akan datang apabila kerajaan memperuntukkan RM45 juta untuk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP). Jumlah itu lebih tinggi berbanding RM15 juta yang diperuntukkan untuk program berkenaan pada Belanjawan 2019.

Sumbangan atlet wanita dalam kecemerlangan sukan negara turut diberi perhatian dalam belanjawan berkenaan.

“Kejayaan atlet wanita negara seperti Datuk Nicol Ann David, Pandelela Rinong dan Farah Ann Abdul Hadi ke peringkat tertinggi membanggakan rakyat dan negara,” katanya.

“Bagi melahirkan lebih ramai lagi atlet wanita bertaraf dunia pada masa akan datang, kerajaan memperuntukkan RM10 juta untuk pembangunan atlet wanita.”

Disiarkan pada: October 11, 2019 @ 9:12pm
d