arena

Misi lahir lebih ramai Luqman Hakim

Oleh Nor Hairulnizam Wahid

RM45 juta yang diperuntukkan buat Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), mampu melahirkan lebih ramai ‘Luqman Hakim Shamsudin’ selepas ini, jelas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Jumlah itu, menurut Syed, tiga kali ganda berbanding peruntukan untuk program sama tahun lalu iaitu RM15 juta malah lebih tinggi berbanding ketika beliau menyertai Kementerian Belia dan Sukan iaitu RM3.5 juta.

“Ini akan memberi impak kepada lebih 80,000 anak muda terutama di luar bandar agar boleh dimasukkan ke dalam ekosistem sukan supaya kita dapat melahirkan lebih ramai pemain seperti Luqman yang kini disenaraikan dalam senarai 60 pemain bola sepak muda terbaik dunia.”

Luqman Hakim, 17, mencuri tumpuan apabila bakat dimilikinya membawanya untuk menyertai kelab Belgium KV Kortrijk. Pada masa sama peningkatan peruntukan kepada RM20 juta kepada e-Sukan juga bakal memberi manfaat kepada atlet muda yang berkecimpung dalam sukan itu.

“Kita ingin fokus kepada masa depan atlet muda kita, di mana kita lihat terdapat lonjakan dan ia sesuatu yang menggembirakan mereka kerana ia perkara yang sudah lama kita nantikan,” kata Syed Saddiq.

“Dalam industri e-Sukan, pada tahun lalu kami menerima RM10 juta yang perlu dikongsi bersama dengan MDEC (Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia) dan kini naik kepada RM40 juta, RM20 juta menerusi MDEC menerusi pembangunan program dan industri e-sukan dan RM20 juta kepada KBS untuk e-sukan sebagai satu sukan. Ia satu peningkatan besar dan saya harap berita ini dapat disampaikan kepada akar umbi.”

Disiarkan pada: October 11, 2019 @ 11:27pm
d