arena

Rafiq Olahragawan, Dhabitah Olahragawati WP

Oleh Samadi Ahmad

JAGUH bowling negara yang menyumbang emas acara perseorangan Kejohanan Bowling Dunia Lelaki di Hong Kong tahun lalu, Muhammad Rafiq Ismail dan atlet akuatik terjun negara, Nur Dhabitah Sabri dinobatkan Olahragawan dan Olahragawati Wilayah Persekutuan (WP) pada majlis Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan 2017-2018 di Putrajaya, malam ini.

Muhammad Rafiq mengetepikan atlet skuasy negara, Ng Eain Yow dan atlet bina badan, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah, manakala Nur Dhabitah yang meraih gangsa acara 3 meter papan anjal di Siri Dunia Terjun FINA di London Mei lalu menewaskan Izzah Amzan (ratu gimnas negara) dan Nor Hamizah Abu Hassan (pesilat negara).

Kedua-dua atlet masing-masing menerima piala pusingan dan wang tunai RM7,000 yang disampaikan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad.

Bagi Olahragawan Harapan Lelaki dimenangi Virandeep Singh dari sukan kriket manakala Olahragawati Harapan Wanita milik Rayna Hoh Khai Ling dari sukan gimrama.

Pasukan Terbaik Lelaki milik pasukan kriket manakala Pasukan Terbaik Wanita ialah skuad bola jaring.

Bagi kategori Jurulatih Lelaki Terbaik dimenangi Hassan Hussein dari sukan boling padang dan Jurulatih Wanita Terbaik dimenangi Afrita Ariany Nasril dari sukan gimrama.

Buat julung kali, majlis pada kali ini memperkenalkan Anugerah Sukan Orang Pekak dimenangi Muhammad Shahrul Azmer Azman dari sukan olahraga dan Anugerah Sukan Paralimpik dimenangi Chung Sow Fun dari sukan ping pong.

Sementara itu, Tokoh Sukan pula dianugerahkan kepada bekas Presiden sukan petanque, Tan Seri Mohamad Noor Abdul Rahim.

Anugerah Khas Persatuan Sukan milik Persatuan Renang Amatur Kuala Lumpur.

Mengulas kemenangannya, Muhammad Rafiq berkata, anugerah kali pertama diraihnya itu sudah lama diimpikan kerana bukan mudah dan terpaksa bersaing dengan atlet lain yang lebih hebat.

Beliau yang juga penerima Olahragawan Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Kebangsaan (ASN) 2018, bersyukur dengan kejayaan itu dan menjadikannya motivasi untuk meraih lebih banyak kemenangan di peringkat antarabangsa, sekali gus mengharumkan nama negara.

Sementara itu, Nur Dhabitah bersyukur dengan kejayaan kali kedua itu selepas memenangi Anugerah Sukan Wilayah Persekutuan 2015-2016.

Dhabitah berkata, ia akan dijadikan motivasi untuk bersaing di Sukan Olimpik Jepun 2020 dan berharap menjadi idola kepada kepada atlet muda yang mewakili negara dalam bidang sukan.

Beliau yang pernah menyertai Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil 2016 turut menaruh harapan untuk membawa pulang pingat pada Sukan Olimpik Jepun 2020.

Disiarkan pada: October 12, 2019 @ 12:26am
d