arena

Harrif intai juarai peringkat, jersi pecut

Oleh Azlan Muhammad Zain

PAKAR pecut pasukan Terengganu Inc TSG, Harrif Saleh mengintai peluang untuk meraih kemenangan peringkat pada Tour of Peninsular bermula minggu depan.

Jelas pelumba berusia 31 tahun itu, dia berharap mampu mencapainya dalam dua peringkat awal di negeri kelahirannya, Terengganu.

“Sudah pasti saya harap mampu meraih kemenangan terutamanya di tempat sendiri. Laluan yang landai, sesuai dengan saya.

“Seingat saya, sepanjang bergelar pelumba profesional saya tidak pernah meraih kemenangan peringkat di tempat sendiri dalam perlumbaan Jelajah Asia. Jadi saya mahukan sesuatu pada edisi sulung ToP ini,” katanya.

Pada masa sama, Harrif turut meletakkan sasaran untuk meraih jersi kategori pecut.

“Ia sesuatu yang diidamkan semua pelumba pecut. Saya akan berusaha keras mendapatkannya,” katanya.

Dua peringkat awal Tour of Peninsular akan bermula di Terengganu membabitkan saingan dari Dungun ke Kuala Terengganu (180.6km) diikuti Kuala Terengganu ke Chukai (157.4km).

Perlumbaan akan diteruskan ke Pahang menyusuri Kuantan, Karak serta pendakian ke Cameron Highlands sebelum berakhir di Setiawangsa, Sabtu ini.

Disiarkan pada: October 13, 2019 @ 8:23pm
d