arena

Syahir, Zulkifli digantung 2 tahun

Oleh Azlan Muhammad Zain

DUA bekas tekong, Syahir Rosdi dan Zulkifli Razak akhirnya dihukum gantung dua tahun oleh Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) berkuat kuasa 27 Jun lalu.

“Jawatankuasa Tatatertib PSM bersidang pada 12 Oktober (semalam) dengan keputusan diangkat dan dibincangkan mesyuarat Exco pada 13 Oktober (hari ini) pada jam 3 petang dengan keputusan sebulat suara diambil,” menurut PSM dalam satu kenyataan.

Penggantungan 24 bulan itu berkuat kuasa 27 Jun lalu dan mereka dilarang bermain dalam sebarang kejohanan atau pertandingan sepak takraw dalam dan luar negara.

Selain itu, kedua-duanya dikehendaki membantu pembangunan sepak takraw tanah air selama 30 jam dengan cara dan masa akan dibincangkan antara pemain dan pengurusan PSM.

“Pemain dibenarkan membuat rayuan kepada PSM dalam masa 14 hari tarikh surat dikeluarkan,” menurut kenyataan yang ditandatangani Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh.

Syahir dan Zulkifli digugurkan daripada skuad negara Jun lalu atas alasan disiplin namun mereka tampil menafikannya.

Disiarkan pada: October 13, 2019 @ 9:45pm
d