arena

Anak buah Nor Saiful ikat Burras

Oleh Rizar Mohd Noor

SKUAD remaja negara mengikat Australia 1-1 pada kejohanan hoki Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru, malam ini.

Walaupun seri, persembahan pasukan negara wajar dipuji apabila memaksa skuad Burras berhempas-pulas untuk menjaringkan gol penyamaan pada kejohanan peringkat umur bawah 21 tahun itu.

Corak permainan anak didik Nor Saiful Zaini Nasiruddin juga tampak meningkat berbanding ketika tewas 1-2 di tangan India, semalam.

Nasib menyebelahi skuad negara apabila Australia yang dihadiahkan penalti pada minit ke-34 gagal disempurnakan Ehren Hazel selepas bola tolakannya terkena tiang gol kanan ketika penjaga gol, Hamiz Mohd Ahir sudah tertewas.

Akhirnya gol yang dinanti menjelma pada minit ke-35 selepas Adam Aiman Mamat menyempurnakan pukulan sudut penalti apabila bijak menolak bola tepat ke penjuru kanan menewaskan penjaga gol, Robert MacLennan.

Namun Malaysia gagal mempertahankan kelebihan 1-0 apabila Daniel McBride menjaringkan gol padang pada minit ke-51 berpunca daripada kekalutan dalam kawasan D untuk mengikat keputusan 1-1.

Sementara itu, naib juara tahun lalu, India mempamerkan aksi konsisten apabila membelasah New Zealand 8-2 untuk kekal di tangga teratas manakala Britain menewaskan Jepun 2-1.

Disiarkan pada: October 13, 2019 @ 10:37pm
d