arena

Belgium kekal rekod 100 peratus

Oleh Reuters

BELGIUM mengekalkan rekod 100 peratus pada kelayakan Euro 2020, ketika anak buah Roberto Martinez yang sudah layak ke pusingan akhir, meledak gol pada setiap babak untuk menundukkan tuan rumah Kazakhstan 2-0 di Nur-Sultan, malam ini.

Michy Batshuayi dan Thomas Meunier masing-masing menyumbang satu gol di Arena Astana ketika pendahulu Belgium merakam kemenangan kelapan berturut-turut dalam Kumpulan I.

Belgium yang menghuni ranking nombor satu dunia, muncul pasukan pertama layak ke pusingan akhir kejohanan 24 negara itu tahun depan apabila mereka membelasah San Marino 9-0 di laman sendiri, awal pagi kelmarin.

Batshuayi membuka tirai jaringan pada minit ke-21 susulan tampanan mudah berdekatan tiang gol selepas sepakan lencong Dennis Praet melepasi benteng tuan rumah.

Gol kedua hadir berikutan hantaran jauh mengagumkan kapten Eden Hazard, yang dilakukan dari tengah padang menemui Meunier yang meluru di sayap kanan.

Sentuhan pertamanya memang mengagumkan dan penamatnya juga memukau untuk menggandakan jaringan selepas 53 minit.

Ia gol ke-30 pada kempen kelayakan buat Belgium, yang hanya dibolosi satu gol.

Kazakhstan kekal di tangga keempat kumpulan dengan tujuh mata daripada lapan perlawanan.

Disiarkan pada: October 14, 2019 @ 12:18am
d