arena

Gundogan cetus kebangkitan Jerman

Oleh AFP

ILKAY Gundogan meledak dua gol pada separuh masa kedua untuk membantu Jerman yang beraksi dengan 10 pemain menang 3-0 ke atas Estonia di tempat lawan pada aksi kelayakan Euro 2020 awal pagi tadi biarpun Emre Can dibuang padang pada awal permainan.

Jerman menang 8-0 ketika kedua-dua pasukan bertemu di Mainz Jun lalu, namun pasukan pelawat berdepan masalah apabila Can dibuang padang selepas 14 minit perlawanan di Tallinn kerana melakukan kekasaran.

Selepas buntu mencari jaringan pada separuh masa pertama, pemain tengah City Gundogan menjaringkan dua gol sebelum penyerang gantian Timo Werner menambah gol ketiga untuk membolehkan Jerman berada di landasan tepat untuk layak ke pusingan akhir tahun depan.

“Selepas 15 minit, kami bermain dengan 10 pemain segala-galanya menjadi lebih sukar dan kami perlu menyesuaikan diri,” kata kapten Jerman Manuel Neuer.

“Saya tidak fikir ia persembahan yang buruk. Persoalannya adalah masa yang diambil sebelum melakukan jaringan dan ada kalanya kami mensia-siakanya.”

Jerman kekal di tangga kedua kumpulan tetapi menyamakan kedudukan menerusi 15 mata dengan pendahulu Kumpulan C, Belanda yang menewaskan Belarus 2-1 di Minsk sebelum itu.

Kemenangan buat skuad Joachim Loew menentang Belarus di Moenchengladbach dan Ireland Utara di Frankfurt bulan depan akan mengesahkan Jerman tiket ke Euro 2020.

Disiarkan pada: October 14, 2019 @ 8:43am
d