arena

Poland, Russia ke Euro 2020

Oleh AFP

POLAND dan Russia menempah tiket ke Euro 2020 awal pagi tadi, masing-masing hasil kemenangan ke atas Macedonia Utara dan Cyprus manakala Jerman dan Belanda mencerahkan peluang mereka untuk ke pusingan akhir.

Russia menang mudah dengan membelasah Cyprus yang beraksi dengan 10 pemain 5-0 manakala Poland menyertai mereka, Belgium dan Itali dalam kelayakan minggu ini dengan menewaskan Macedonia Utara 2-0.

Skuad Russia kendalian Stanislav Cherchesov yang mara ke suku akhir Piala Dunia di laman sendiri tahun lalu perlu mengelakkan kekalahan di Nicosia untuk mengikut jejak Belgium yang layak dari Kumpulan I.

Pemain sayap Valencia Denis Cheryshev menjaringkan gol pembukaan pada minit kesembilan buat pelawat sebelum Magomed Ozdoev, yang melakukan rembatan cantik dari jarak jauh ketika menentang Scotland Jumaat lalu, meledak gol kedua pada pertengahan separuh masa pertama.

Impian Cyprus untuk bangkit musnah pada minit ke-28 apabila Kostas Laifis dibuang padang kerana melakukan terjahan keras ke atas pertahanan Russia Sergei Petrov.

Penyerang Artem Dzyuba menjaringkan gol ketiga dalam dua perlawanan pada minit ke-79 sebelum jaringan Aleksandr Golovin dan seterusnya daripada Cheryshev melengkapkan kemenangan mereka.

Russia berhajat untuk menewaskan Belgium yang menewaskan Kazakhstan 2-0 sebelum itu, untuk menguasai tangga teratas kumpulan apabila mereka bertemu pada 16 November depan.

Poland pula melangkah ke perlawanan menentang Macedonia Utara, menyedari kemenangan akan mengesahkan laluan mereka ke Euro.

Przemyslaw Frankowski melakukan jaringan, 60 saat selepas diturunkan sebagai pemain gantian pada minit ke-74 sebelum Akardiusz Milik memastikan kemenangan mereka.

Disiarkan pada: October 14, 2019 @ 11:01am
d