arena

Hamilton enggan terburu-buru

Oleh AFP

LEWIS Hamilton berkata dia enggan tergesa-gesa untuk menjulang kejuaraan dunia keenam selepas saingan merebut gelaran tertumpu kepada dua pelumba Mercedes di Grand Prix Jepun.

Jelajah Formula Satu berkunjung ke Mexico dalam tempoh dua minggu lagi di mana Hamilton yang mendahului 64 mata mengatasi Valteri Bottas yang mampu melengkapkan gelaran pemandu buat kali ketiga berturut-turut jika mengatasi rakan sepasukan dengan 14 mata.

Apa yang pasti saingan ini akan berakhir di perlumbaan berikutnya di Grand Prix Amerika di Austin, Texas.

Kemenangan Bottas di Suzuka dan Hamilton di tangga ketiga mengesahkan kejuaraan keenam berturut-turut buat Mercedes sebagai pengeluar dan menjadikan pelumba Finland itu sebagai satu-satunya pemandu yang boleh memintas Hamilton menerusi empat perlumbaan terakhir musim ini.

“Bagi saya, saya tidak terburu-buru untuk melakukan segala-galanya,” kata Hamilton kepada media semalam, menambah dia bakal berdepan saingan sengit daripada rakan sepasukan pada beberapa perlumbaan terakhir.

“Valtteri memandu dengan baik sepanjang tahun, dia melakukan tugas dengan baik hari ini dan sudah pasti dia akan melakukan tugasnya dengan baik pada perlumbaan berikutnya, jadi kami masih bertarung, perjuangan ini berterusan,” katanya.

Hamilton juga tidak menjangka saingan mudah di litar Mexico yang mungkin sesuai dengan Ferrari, yang mempunyai kelebihan di laluan lurus.

Disiarkan pada: October 14, 2019 @ 11:36am
d