arena

Tuntut aksi terbaik

Oleh Rizar Mohd Noor

HANYA kemenangan ke atas New Zealand bakal menghidupkan peluang skuad remaja negara seandainya mahu memburu tempat ketiga saingan hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2019.

Apapun barisan pemain skuad remaja harus tampil lebih agresif apabila berdepan skuad kendalian Bryce Collins pada pertembungan di Stadium Hoki Taman Daya, esok dan ia dianggap misi wajib menang buat anak didik Nor Saiful Zaini Nasiruddin.

Selepas melakar kejutan apabila mengikat 1-1 ketika menentang Australia, semalam, jurulatih berusia 53 tahun itu mengakui barisan pemainnya memiliki kredibiliti untuk bersaing dengan pemain berpengalaman.

“Ketika menentang Australia, saya beri kebebasan kepada pemain untuk beraksi dengan keupayaan sendiri dan mereka bermain dengan corak taktikal yang diserapkan tanpa melakukan kesilapan mudah.

“Kita perlu tingkatkan prestasi apabila menentang New Zealand. Jika mereka boleh beri tentangan terhadap kehebatan Australia, tidak mustahil kita mampu mengatasi New Zealand, esok.

“New Zealand dibelasah India 2-8 pada perlawanan hari ini (semalam). Justeru, kami akan kaji apa kelemahan mereka yang boleh digunakan untuk mengatasai mereka dan tiga mata yang diinginkan amat penting buat kami,” kata Nur Saiful.

Nor Saiful menegaskan sasaran untuk menamatkan saingan di kedudukan podium tetap tidak berubah biarpun baru mengutip satu mata selepas mengharungi dua perlawanan.

Malaysia tewas 2-4 di tangan India dalam aksi pembukaan, Sabtu lalu.

Sementara itu, Collins mahu barisan pemainnya menjadikan aksi bertemu Malaysia sebagai medan kebangkitan selepas kekalahan besar 2-8 di tangan India.

“Kami akan menggunakan rehat sehari esok (hari ini) untuk mengkaji permainann Malaysia. Kami memang teruja untuk menentang Malaysia dan saya percaya ia akan menjadi perlawanan menarik,” katanya.

Sebelum tewas di tangan India, New Zealand turut gagal mengutip mata apabila tunduk kepada Great Britain 0-2 dalam aksi pembukaan, Sabtu lalu.

Jadual Perlawanan Piala Sultan Johor

Selasa, 15 Oktober 2019

Britain mln Australia(4.05 petang)

Jepun mln India(6.05 petang)

New Zealand mln Malaysia(8.05 malam)

Semua perlawanan di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.

Disiarkan pada: October 14, 2019 @ 1:29pm
d