arena

JDT bukan faktor Hazwan tak menyengat

Oleh Syazwan Msar

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) menempelak segelintir pihak yang melihat kelab berkenaan menjadi punca utama pemainnya termasuk penyerang kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri tidak dapat meneruskan kerjaya di peringkat tertinggi selepas menyertai mereka.

Malah, JDT menerusi akaun Facebook Johor Southern Tiger (JST) turut melihat pandangan berkenaan tidak adil kepada kelab berpangkalan di selatan tanah air sekali gus berniat mahu mencemarkan imej pasukan.

Menerusi statistik di akaun Facebook itu mendapati Hazwan memiliki rekod 4,297 minit sepanjang tiga musim di JDT.

"2017: membabitkan 31 penampilan, tujuh jaringan gol, lima bantuan gol manakala 2018 pula 38 penampilan dengan empat jaringan dan enam bantuan gol. Pada tahun ini pemain itu melakukan lapan penampilan dan satu bantuan gol.

“Secara keseluruhan, Hazwan membuat penampilan dalam 78 perlawanan untuk JDT,” katanya, menerusi Facebook JST.

Selain itu, Hazwan turut memenangi tujuh trofi iaitu tiga kejuaraan Liga serta pernah menjulang sekali Piala Malaysia.

Pemain itu turut, memenangi dua Piala Sumbangsih dan dan satu Piala Cabaran baru-baru ini.

“Hazwan juga mendapat pendedahan berharga di pentas Asia kerana sudah beraksi dalam 12 perlawanan Piala AFC dan empat perlawanan peringkat kelayakan serta kumpulan di Liga Juara-Juara AFC.

“Akhir sekali, Hazwan mungkin juga seorang jutawan yang tidak perlu bimbang tentang gaji yang tidak dibayar seperti di beberapa kelab Malaysia lain kerana kebajikan pemain JDT diletakkan sebagai keutamaan.” katanya.

Disiarkan pada: October 14, 2019 @ 2:59pm
d