arena

Tok Gajah ada ramuan sekat Kedah

Oleh Asrol Awang

SKUAD Pahang mampu menyekat Kedah pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Sabtu ini.

Pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang, berkata prestasi mantap dipersembahkan skuad itu pada suku akhir ketika menewaskan Melaka United boleh diulangi. "Walaupun tempoh rehat panjang, ia diharap tidak menjejaskan persiapan pasukan biarpun ada pemain dibelenggu masalah kecederaan.

"Namun, saya percaya dengan komitmen dan semangat juang tinggi, dapat meletakkan pasukan pada tahap terbaik dan mencapai misi ke pentas final.

"Oleh itu, pemain perlu memanfaatkan sesi latihan minggu ini dengan prestasi membanggakan," katanya.

Dalam saingan Piala Malaysia, skuad kendalian Dollah Salleh muncul juara Kumpulan D. Pada aksi suku akhir, Pahang menang ke atas Melaka United menerusi agregat 6-1.

Namun, kecederaan dialami empat pemain iaitu Muslim Ahmad, Nor Azam Azih, Zuhair Aizat Mohd Nazri dan Faisal Halim sudah pasti memberi tamparan buat skuad Tok Gajah.

Pada masa sama, situasi semasa kapten pasukan, Matthew Davies, Mohamadou Sumareh dan Norshahrul Idlan Talaha yang belum diketahui.

Tiga pemain berkenaan menyarung jersi Harimau Malaya pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 bertemu Vietnam. Begitu juga dua import, Safuwan Bahadin dan Saddil Ramdani, masing-masing mewakili Singapura dan Indonesia.

Disiarkan pada: October 14, 2019 @ 5:20pm
d