arena

Keputusan seri 'redakan' Perancis-Turki

Oleh AFP

PERANCIS seri 1-1 dengan Turki dalam kelayakan Euro 2020 awal pagi tadi dalam perlawanan yang dibayangi ketegangan diplomatik dan keselamatan selepas Paris mengutuk Ankra kerana mengambil pendekatan militari terhadap anggota Kurdish di Syria.

Pemain gantian Olivier Giroud menanduk masuk menerusi sepakan sudut untuk meletakkan Perancis di depan pada minit ke-76 di Stade de France tetapi Kaan Ayhan meledak gol penyamaan enam minit kemudian, jaringan yang diraikan dengan tabik tentera di depan penyokong Turki.

Turki kekal di tangga teratas Kumpulan H mengatasi juara dunia itu berdasarkan rekod pertemuan, biarpun Perancis berpeluang layak ke pusingan akhir dengan kemenangan ke atas Moldova di laman sendiri bulan depan.

Turki bakal menempah tiket jika mengelak kekalahan kepada Iceland di tangga ketiga, yang kini ketinggalan empat mata selepas menewaskan Andorra 2-0.

“Mereka menjaringkan gol dari set-piece pada perlawanan pertama. Kami sepatutnya boleh mengelaknya,” kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps yang pasukannya tewas kepada Turki 0-2 di Konya, Jun lalu.

“Kami lakukan apa yang termampu untuk menang perlawanan berdasarkan permainan dan jumlah peluang.

“Mereka tidak mempunyai banyak peluang tetapi berjaya menyempurnakan gerakan set-piece.”

Disiarkan pada: October 15, 2019 @ 9:09am
d