arena

Skuad futsal Malaysia benam New Caledonia

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

SKUAD futsal kebangsaan mencatat kemenangan bergaya, 5-0 ke atas New Caledonia pada aksi persahabatan di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, semalam.

Kemenangan itu bagaimanapun belum menceriakan jurulatih Chiew Chun Yong yang menyifatkan secara keseluruhan pemainnya dilihat masih gagal menterjemah taktikal baru diterapkan secara total.

"Walaupun menang 5-0 sejujurnya saya belum puas hati. Sasaran saya kejohanan AFF (Persekutuan Bolasepak ASEAN) tapi mutu permainan pemain belum capai tahap dikehendaki.

"Kemenangan ini bagus, tapi persembahan pemain keseluruhannya perlu dibaiki terutama dari segi taktikal bertahan, menyerang dan penyudah," katanya.

Gol kemenangan Malaysia dihasilkan menerusi jaringan Harith Naim, Ridwan Bakri, Saiful Nizam dan dua gol daripada Abu Haniffa.

Mengulas lanjut, Chun Yong berkata, pasukan New Caledonia bermain secara bertahan dan sesekali melakukan serangan balas pantas.

"Ini juga antara aspek yang perlu dibaiki oleh pemain Malaysia kerana mereka (New Caledonia) bahaya dalam serangan balas.

"Apa yang jelas pemain kita belum dapat mengatasi hal ini, jika tidak mereka boleh menjaringkan lebih gol. "Jadi saya harap aspek ini dapat diperbaiki pada perlawanan kedua nanti menentang pasukan sama esok," katanya.

Disiarkan pada: October 15, 2019 @ 7:09pm
d