arena

Danieal Haikkal tunjuk belang

Oleh Azlan Muhammad Zain

PELUMBA skuad kebangsaan, Muhammad Danieal Haikkal Edy Suhaidee meraih pencapaian terbesar dalam kariernya apabila memenangi tempat ketiga Peringkat 1 Tour of Peninsular (ToP) 2019, hari ini.

Kejayaan itu turut membolehkan dia menyambar jersi putih selaku pelumba terbaik Asia pada Peringkat 1 dari Dungun ke Dataran Shah Bandar, Kuala Terengganu.

"Selama ini saya memang impikan podium dan akhirnya berjaya mencapainya pada perlumbaan berstatus 2.1 di Jelajah Asia. Saya sangat bersyukur terutamanya dengan rakan sepasukan yang senior membakar semangat untuk terus mencabar.

“Ini adalah podium dan jersi pertama saya selepas tiga tahun bersama skuad senior," jelas pelumba berusia 21 tahun dari Johor itu.

Ia adalah kejayaan terbesarnya selepas mula beraksi di pentas senior pada usia 19 tahun.

"Perlumbaan sangat agresif hari ini kerana semua pasukan mengejar jersi. Namun saya memulakan gerakan ketika 30 kilometer (km) terakhir.

"Sehingga akhirnya hanya tinggal empat pelumba termasuk saya di kelompok depan menuju garisan penamat dan terpaksa akur meraih tempat ketiga selepas pelumba Azerbaijan (Elchin Asadov) mula meninggalkan kami," katanya.

Menurutnya, latihan serta pendedahan berterusan bersama pelumba senior dalam pasukan mencetuskan perasaan berani dan mencabar lawan yang lebih berpengalaman.

Disiarkan pada: October 15, 2019 @ 8:46pm
d