arena

Thailand benam UAE

Oleh Syazwan Msar

THAILAND memberi amaran awal buat skuad Malaysia selepas berjaya membenam Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2-1 pada perlawanan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Thammasat, Bangkok, malam ini.

Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan skuad Gajah Putih sebagai pendahulu kumpulan dengan tujuh mata selepas mencatat dua kemenangan dan satu seri.

Tuan rumah mendahului jaringan menerusi penyerangnya Terrasil Dangda pada minit 26. Namun, pasukan dari Timur Tengah itu berjaya menyamakan kedudukan pada masa tambahan separuh masa pertama menerusi menerusi penyerang berbisanya Ali Mabhkout.

Asakan bertali arus Thailand membuahkan hasil apabila pemain muda berusia 19 tahun Ekanit Panya berjaya menyumbat gol kemenangan pada minit 51 untuk kedudukan 2-1.

Walaupun kedua-dua pasukan mencipta gerakan untuk menambah jaringan namun gagal menerjah jaring gol dengan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan membabitkan Indonesia menentang Vietnam di Stadium Wayan Dipta, Bali menyaksikan skuad Garuda terus kempunan memperoleh kemenangan pertama apabila tewas kepada pasukan pelawat 1-3.

Skuad Naga Emas ternyata berada dalam kelas tersendiri berjaya menghasilkan gol menerusi Do Duy Manh pada minit ke-26, Que Ngoc Hai dan Nguyen Tien Linh masing-masing pada minit 55 dan 61.

Manakala gol saguhati tuan rumah dijaringkan Irfan Bachdim enam minit sebelum tamat perlawanan.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan skuad Harimau Malaya kini berada di kedudukan keempat liga dengan tiga mata sekali gus perlu mencatatkan keputusan positif pada perlawanan akan datang.

Manakala, Thailand terus mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu kumpulan G dengan tujuh mata berkongsi mata dengan Vietnam di tempat kedua manakala UAE pula di posisi ketiga menerusi enam mata.

Skuad Harimau Malaya dijangka menerima kunjungan Thailand pada 14 November sebelum bertemu Indonesia pada 19 November depan dengan kedua-dua perlawanan terbabit berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: October 15, 2019 @ 10:52pm
d