arena

Aki terlepas aksi berdepan All Blacks

Oleh AFP

IRELAND akan terus berjuang pada saingan suku akhir Ragbi Piala Dunia menentang New Zealand (NZ) sekalipun tanpa kehadiran Bundee Aki, kata penolong jurulatihnya, Simon Easterby, selepas pemain kelahiran NZ itu digantung tiga perlawanan kerana melakukan kekasaran.

Aki digantung tiga perlawanan selepas menerima kad merah akibat kekasaran yang dilakukannya ke atas pemain Samoa pada perlawanan terakhir ketika Ireland menang 47-5 dalam aksi peringkat Kumpulan A, Sabtu lalu.

Easterby berkata, mereka akan meneliti laporan penuh yang dikeluarkan jawatankuasa disiplin sebelum memutuskan sama ada perlu membuat rayuan atau tidak dan pada sama, beliau sedang merancang taktikal tanpa menyelitkan nama bintang berusia 29 tahun itu.

“Kami bernasib baik kerana memiliki kelompok pemain yang hebat, tetapi dia (Aki) adalah antara tonggak utama dan kami pasti merasai ketiadaannya,” kata Easterby.

“Selagi kami belum melihat laporan hukuman ke atasnya, selagi itulah kami tidak akan mengambil apa-apa keputusan. Kami perlu tunggu dan lihat sebelum kami membuat apa-apa kenyataan kenyataan mengenai Bundee.

“Kami perlu merancang dengan baik. Masa untuk kami berlatih dengan taktikal yang sudah dirancang juga semakin pendek.

“Buat masa ini, kami menganggap bahawa kami perlu bermain tanpa Bundee.”

Easterby menambah, kehadiran semula Robbie Henshaw yang kembali cergas menjelang aksi menentang juara bertahan itu pasti memberi tenaga tambahan di bahagian tengah pasukan.

“Kami bernasib baik apabila kakitangan perubatan bertungkus lumus memastikan Robbie boleh bermain. Dia diturunkan ketika menentang Samoa dan keadaannya juga positif,” kata Easterby.

Ireland tidak pernah berjaya melepasi peringkat suku akhir Ragbi Piala Dunia dan mereka kini berdepan tugasan besar untuk mengetepikan cabaran juara tiga kali berkenaan.

All Black yang dibimbing Joe Schmidt memenangi dua daripada tiga pertemuan menentang Ireland sebelum ini dan Easterby berkata, untuk menghalang New Zealand menang Sabtu ini, pasukannya perlu bijak menutup semua ruang.

“Mereka pasukan yang sangat berbahaya jika diberi ruang dan itulah yang mereka buktikan ketika bertemu Afrika Selatan di peringkat kumpulan. Mereka ketinggalan 0-3 tetapi dengan pantas mendahului 17-3,” kata Easterby merujuk kepada perlawanan pertama All Black pada kempen kali ini.

Disiarkan pada: October 16, 2019 @ 1:02am
d