arena

Azzurri lebar rekod sempurna

Oleh AFP

ANDREA Belotti menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua ketika Itali yang sudah pun layak ke Euro 2020 membelasah Liechtenstein 5-0 awal pagi tadi untuk melebarkan rekod sempurna mereka kepada lapan perlawanan dan rekod Itali selama 80 tahun.

Skuad kendalian Roberto Mancini berada di tangga teratas Kumpulan J selepas menang 2-0 ke atas Greece di Rome Ahad lalu.

Federico Bernardeschi memberikan Itali gol pendahuluan seawal minit kedua di Vaduz namun Azzurri mula mengganas pada 20 minit terakhir dengan empat gol.

Belotti menanduk masuk dua kali pada separuh masa kedua manakala Alessio Romagnoli dan pemain gantian Stephan El Shaarawy turut menjaringkan gol pada babak terakhir perlawanan.

Mancini meraikan kemenangan kesembilan berturut-turut sebagai pengurus Itali untuk menyamai rekod dimiliki jurulatih legenda Vittorio Pozzo pada 1938-1939.

Pozzo menjulang dua daripada empat trofi Piala Dunia buat Itali pada 1934 dan 1938 serta pingat emas Sukan Olimpik Berlin.

“Saya lebih berminat dengan rekod beliau iaitu dua Piala Dunia dan Olimpik tetapi jika menang Euro 2020 sudah memadai,” kata Mancini.

Bekas pengendali Inter Milan dan Manchester City berusia 54 tahun itu mengambil alih pasukan pada Mei 2018 selepas Itali gagal mara ke Piala Dunia.

Selepas ini Itali akan menentang Bosnia Herzegovina pada 15 November.

Disiarkan pada: October 16, 2019 @ 8:59am
d