arena

Uruguay ikat Peru

Oleh Agensi

DARWIN Nunez yang dimasukkan sebagai pemain gantian menyelamatkan Uruguay dengan gol lewat untuk mengikat Peru, 1-1 dalam perlawanan persahabatan di Lima, Peru, pagi ini.

Tandukan Christofer Gonzales meletakkan Peru di depan pada minit ke-34 selepas Uruguay terpaksa beraksi 10 pemain apabila Martin Caceres dilayangkan kad merah.

Namun tandukan Nunez selepas menerima hantaran lambung Matias Vina di hujung babak perlawanan menyebabkan skuad La Celeste bernasib baik mencatat keputusan seri selepas menang dengan lawan sama empat hari lalu di Estadio Centenario, Montevideo.

Selepas permulaan aksi yang hambar perlawanan bertambah tegang pada minit ke-26 apabila pemain pertahanan berpengalaman Caceres dilayangkan kad merah dengan dua kesalahan yang dilakukan hanya beberapa minit.

Bekas pertahanan Barcelona dan Juventus dilayangkan kad kuning pertama ketika melakukan terjahan ke atas Miguel Trauco sebelum menerima kad kuning kedua selepas membantah keputusan pengadil perlawanan dari Colombia, Carlos Herrera.

Ketua jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez lantas melakukan pertukaran pemain memasukkan Giovanni Gonzalez menggantikan Maxi Gomez, pelawat berjaya menyamakan kedudukan beberapa minit kemudian selepas Peru terlepas peluang menambah jaringan.

Peru menewaskan Uruguay 5-4 menerusi penentuan penalti saingan separuh akhir Copa America pada Jun sebelum Brazil mengecewakan mereka pada final dan prestasi kurang memberangsangkan ketika La Celeste dilihat kurang penyudah ketika menang 1-0 pada Jumaat lalu.

Disiarkan pada: October 16, 2019 @ 6:10pm
d