arena

PBSNT bakal mempunyai pengarah teknikal

Oleh Malik Muhamad

PERSATUAN Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan melantik pengarah teknikal bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan untuk memastikan pembangunan bola sepak negeri terus berkembang.

PBSNT yang baharu melantik ketua jurulatih baharu Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain semalam dilihat lebih serius dalam misi meraih kejuaraan musim depan selain untuk meningkatkan lagi prestasi pemain bermula daripada peringkat bawah lagi.

Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim berkata, lantikan jawatan itu akan diwujudkan dalam masa terdekat selepas melihat kedudukan kewangan PBSNT.

Katanya, pelantikan jawatan itu selari dengan hala tuju PBSNT yang mahu mewujudkan DNA atau kesinambungan pemain bermula daripada pasukan bawah hingga ke pasukan utama.

"Kami masih ada komitmen ke arah itu (untuk wujudkan pengarah teknikal), tapi sekarang perlu fokus untuk menyelesaikan kekosongan barisan jurulatih pasukan TFC hingga TFC V dalam masa terdekat.

"Perbelanjaan juga perlu diambil kira dan saya lihat kami mungkin ada pengarah teknikal pada musim depan, kita akan cuba yang terbaik,” katanya.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini bercadang untuk menetapkan jawatan pengarah teknikal sebagai mandatori dalam pelesenan kelab setiap pasukan yang beraksi dalam Liga M.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan kedegilan serta kegagalan pasukan yang gagal melantik pengarah teknikal amat dikesali dan pihaknya bersedia untuk mewajibkan perkara itu.

Pada 2016, sebelum penjenamaan semula pasukan itu, Terengganu pernah melantik Mike Mulvey dari England yang juga bekas pemain Manchester United sebagai pengarah teknikal.

Dengan wujudnya pengarah teknikal nanti ia mampu melahirkan lebih ramai bakat anak negeri bertepatan dengan impian badan induk bola sepak negeri yang mensasarkan 80 peratus pemain skuad TFC musim depan adalah anak jati negeri.

Disiarkan pada: October 16, 2019 @ 9:50pm
d