arena

Skuad futsal lakar kemenangan kedua

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

SKUAD futsal negara menumpaskan New Caledonia, 6-1 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa kedua di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, malam ini.

Bagi ketua jurulatih negara, Chiew Chun Yong pasti mempunyai bayangan 14 pemain terbaik untuk dibawa ke Kejuaraan Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2019 di Vietnam dari 21 hingga 27 Oktober ini.

Skuad negara jelas mempamerkan peningkatan dari segi taktikal permainan berbanding ketika mencatatkan kemenangan 5-0 pada perlawanan pertama, kelmarin.

Gol pertama Malaysia terhasil apabila bola sepakan Mohd Azwann Ismail ditampan pemain lawan Christopher Cawa ke gawang sendiri pada minit (m) ke-8.

Skuad negara terus menambah duka lawan menerusi gol jaringan Mohamad Awalluddin Mat Nawi pada m-18, Mohd Ridzwan Bakri (m-21), Abu Haniffa (m-23 dan 30), Muhammad Saad Abdul Sani (m-26) Lawan yang melakukan beberapa percubaan berbahaya mendapat gol saguhati pada m-19 menerusi Chris Pei.

Perlawanan berlangsung agak tegang menyaksikan kekasaran dilakukan kedua-dua pasukan dengan kemuncaknya penjaga gol utama negara, Muhammad Syafiq Hamzah dilayangkan kad merah selepas menerima dua kad kuning.

Biarpun terpaksa bermain dengan empat pemain, Malaysia kental bertahan dengan penjaga gol Muhammad Syawal Sabaruddin bertindak cemerlang menafikan beberapa percubaan lawan sehingga tamat perlawanan.

Sementara itu, Chiew berkata, pemainnya mempamerkan prestasi baik pada babak kedua hingga berjaya menjaringkan banyak gol.

"Pada babak pertama tahap fokus pemain tidak cukup baik dan mereka tidak mengikut arahan dan taktikal dengan sepenuhnya. Tetapi di babak kedua, prestasi mereka bertambah baik dan sebab itulah kami menjaringkan lebih banyak jaringan.

“Pemain perlu fokus semula sebagai persediaan akhir sebelum berlepas ke Vietnam. Saya ada lagi beberapa sesi latihan untuk menyediakan pemain bagi Kejuaraan Futsal AFF 2019,” katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2019 @ 11:23pm
d