arena

Semoga ada sinar

Oleh Iskandar Shah Mohamed

Nasib dua bekas tekong kebangsaan, Syahir Rosdi dan Zulkifli Razak yang dikenakan hukuman gantung dua tahun akan diputuskan Jawatankuasa Rayuan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menerusi satu mesyuarat di Cyberjaya, esok.

Sesi perbincangan bersama semua ahli jawatankuasa itu merangkumi semua aspek termasuk meneliti permohonan maaf, sumbangan dan jasa dua pemain berkenaan kepada negara sebelum ini.

Pengerusi jawatankuasa itu yang juga Timbalan Presiden PSM, Datuk Akramuddin Abd Aziz berkata, pihaknya sudah menerima surat rayuan daripada dua bekas tekong berkenaan, kelmarin.

“Justeru, saya bersama ahli jawatankuasa lain akan bersidang bagi membincangkan secara menyeluruh dan mendapat pandangan mengenai isu penggantungan pemain berkenaan.

“Hasil mesyuarat itu kemudian akan diserahkan kepada Jawatankuasa Eksekutif PSM yang turut akan bersidang bagi menentukan sepenuhnya nasib dua tekong terbabit,” katanya kepada Arena Metro.

Kata Akramuddin, pihaknya turut mengharapkan keputusan positif diperoleh menerusi mesyuarat itu nanti. Penggantungan 24 bulan ke atas Syahir Rosdi dan Zulkifli itu berkuat kuasa 27 Jun lalu dan mereka dilarang bermain dalam sebarang kejohanan atau pertandingan sepak takraw sama ada dalam mahupun luar negara.

Selain itu, dua pemain berkenaan dikehendaki membantu pembangunan sepak takraw tanah air selama 30 jam dengan cara dan masa akan dibincangkan antara pemain dan pengurusan PSM. Mereka digugurkan daripada skuad negara Jun lalu atas alasan disiplin, namun tampil menafikannya.

Pencapaian terbaik dua bekas tekong itu ialah menamatkan kemarau 24 tahun kilauan pingat emas di Sukan Asia tahun lalu selepas kali terakhir di Hiroshima pada 1994.

Disiarkan pada: October 17, 2019 @ 6:00am
d