arena

Brendan ada 12,000 pengikut di Twitter

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

BERPERWATAKAN dan berkarisma di padang, arkitek tengah Harimau Malaya, Brendan Gan sebenarnya turut 'ligat' di media sosial dengan berkongsi kata-kata hikmat bersama warganet.

Tidak hairan pemain berdarah campuran Australia-Malaysia itu kini mempunyai 12,000 pengikut di Twitter.

Terbaru, pemain berusia 31 tahun itu membuat hantaran mengandungi kata-kata semangat dipercayai ditujukan kepada rakan dalam skuad kebangsaan.

"Jangan berharap untuk sesuatu...berusahalah," katanya sambil berkongsi tangkap layar hantaran dimuat naik pada 14 Januari 2017.

Hantaran disertakan dengan gambarnya mengandungi kenyataan: "Saya tidak hanya 'berharap' untuk kembali bermain dengan pasukan kebangsaan.

Saya akan 'berusaha' sekuat mungkin untuk bersama pasukan.

"Jangan biarkan apapun menghalang jalan anda...hapuskan semua halangan seperti yang saya lakukan untuk bersama pasukan."

Ia mendapat 716 tanda 'suka' dan 337 perkongsian daripada warganet.

Menerusi hantaran pada 13 Oktober lalu pula Brendan berharap sokongan berterusan daripada peminat bola sepak dan yakin skuad Harimau Malaya akan kembali kukuh jika kekal positif.

"Sentiasa positif dan kekal bertekad untuk memperbaiki! Kita akan kembali menjadi lebih mantap sebagai satu pasukan.

Teruskan sokongan kerana kami memberikan 110 peratus untuk lencana negara," katanya.

Semangat tidak putus asa pemain Perak itu hingga berjaya memikat semula ketua jurulatih Tan Cheng Hoe wajar dicontohi terutama rakan sepasukan untuk bangkit daripada dua kekalahan kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Malaysia kini di tangga keempat Kumpulan G dengan tiga mata hasil kemenangan tunggal 3-2 ke atas Indonesia pada perlawanan sulung 5 September lalu dan dijadual menentang Thailand pada 14 November depan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kali terakhir Brendan mewakili skuad kebangsaan pada September 2016 menentang Indonesia dalam aksi persahabatan di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Namun, dia hanya beraksi 45 minit sebelum mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) dan berehat selama tiga tahun di Australia.

Disiarkan pada: October 17, 2019 @ 2:24pm
d