arena

Jadual padat perayaan 'gusarkan' City

Oleh AFP

MANCHESTER City percaya integriti kesukanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dicemari jadual musim perayaan yang padat yang menyaksikan juara bertahan itu beraksi dua kali dalam tempoh 48 jam.

Perlawanan City menentang Wolves dianjakkan dari Hari Boxing (26 Disember) kepada 27 Disember pada jam 7.45 malam waktu tempatan.

Ia memberikan mereka kurang daripada dua hari untuk persiapan perlawanan di laman sendiri, menanti kunjungan Sheffield United, yang bakal diadakan pada jam 6 petang, 29 Disember.

Pertukaran jadual perlawanan menentang Wolves juga bermakna anak buah Nuno Espirito Santo akan kekurangan 24 jam tempoh rehat sebelum berkunjung ke Liverpool pada 29 Disember.

Liverpool sudah pun memiliki kelebihan lapan mata mengatasi City di puncak liga.

“Perlawanan Liga Perdana menuntut kekuatan fizikal yang hebat dan tidak ideal untuk bermain dua kali dalam tempoh kurang daripada 24 jam kerana ia tidak memberi peluang kepada pemain pulih dengan baik,” kata Ketua Pegawai Operasi City Omar Berrada kepada Manchester Evening News.

“Kami juga perlu pastikan kami melindungi kebajikan pemain, integriti kesukanan liga ini dan kualiti produk.

“Kami mengadakan perbincangan secara terbuka dengan liga untuk mempertimbangkan pilihan lain tetapi malangnya kami perlu mengikuti waktu dan tarikh sepak mula yang diberikan kepada kami.”

Penyokong Liverpool juga tidak berpuas hati dengan pengumuman liga yang dibuat hari ini ketika mereka perlu berkunjung ke Leicester pada jam 8 malam Hari Boxing, hari cuti kebangsaan di mana pilihan pengangkutan terhad.

Disiarkan pada: October 18, 2019 @ 9:34am
d