arena

Regan mahu ikut jejak Cornthwaite

Oleh Firdaus Hashim

Tonggak pertahanan Selangor, Taylor Regan berazam mengulangi catatan rakan senegaranya dari Australia, Robert Cornthwaite ketika menjulang Piala Malaysia bersama Selangor pada 2015.

Malah, dia sendiri yang hadir menyaksikan final di Stadium Shah Alam, empat tahun lalu mengaku melihat Cornthwaite dan pemain Selangor menjulang Piala Malaysia adalah sesuatu yang indah baginya.

Apatah lagi kejayaan menundukkan Kedah 2-0 di final itu juga adalah kali ke-33 Selangor menjulang Piala Malaysia.

Regan, 31, sedar bahawa dia berpeluang untuk menyempurnakan hasratnya membawa Selangor ke pentas final musim ini selepas kali terakhir mara pada 2016.

“Pada penghujung 2015, saya baru saja mengikat kontrak bersama Negeri Sembilan. Saya datang menyaksikan perlawanan akhir membabitkan Selangor dengan Kedah di Shah Alam.

“Rakan senegara, Robert (Cornthwaite) mempelawa saya untuk hadir dan melihat sendiri bagaimana Selangor muncul juara Piala Malaysia pada waktu itu. Kini, saya menyimpan impian sama iaitu mahu mengulangi detik kejayaan berkenaan.

“Selangor sebuah pasukan yang bagus malah penyokongnya juga sentiasa bersama pasukan... tiada apa lagi yang saya mahukan kerana saya sudah berada dalam satu daripada pasukan terbaik Malaysia,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan, semalam.

Dalam masa sama, bekas pemain Adelaide United dan Newcastle Jets itu tidak kisah dengan pilihan ramai yang meletakkan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai pilihan mara ke pentas akhir berbanding Selangor.

Malah, dia gembira dengan status Selangor sebagai underdog berbanding juara enam kali Liga Super, JDT yang dilihat berada di kemuncak prestasi ketika ini.

“Ini Piala Malaysia, keajaiban sentiasa terjadi dan saya sendiri percaya keupayaan Selangor tidak jauh berbeza dengan pasukan lain. Semua pemain import berada pada tahap terbaik, begitu juga pemain tempatan.

“Jika kami tidak boleh menang di Larkin pada separuh akhir pertama ini, kami kena pastikan jurang jaringan itu tidak terlalu besar. Kami sudah buktikan pada suku akhir lalu di mana walaupun ramai memilih Perak dan kami tewas 0-1 di Ipoh, namun kami tunjukkan karakter tersendiri di laman sendiri untuk bangkit melalui kemenangan agregat 3-2,” katanya.

Disiarkan pada: October 19, 2019 @ 6:00am
d