arena

Belanja besar hasil 'gempak'

Oleh Syazwan Msar

Jika mahu yang terbaik, bersedialah untuk berbelanja besar.

Itulah yang dihadapi Akademi Mokhtar Dahari (AMD) untuk menghasilkan pelatih berkualiti tinggi yang bakal memikul tanggungjawab besar menobatkan semula bola sepak negara.

Pengurus Besar AMD, Muhamad Yusuf Ibrahim mendedahkan, kos untuk melahirkan seorang bintang bola sepak adalah sekitar RM50,000 setahun dan dengan jumlah 217 pelatih yang kini berada di akademi berkenaan, pihaknya perlu mempunyai dana RM10.8 juta dengan anggaran keseluruhan mencecah RM54.2 juta untuk tempoh lima tahun.

Beliau berkata, anggaran kos berkenaan adalah merangkumi latihan, tempat tinggal dan juga perbelanjaan lain termasuk menghantar pelatih ke luar negara untuk menimba ilmu atau menyertai kejohanan tertentu.

“Untuk menghasilkan pemain seperti Luqman Hakim Shamsudin, kami memerlukan peruntukan kewangan tinggi bagi memastikan keupayaan dan bakat pelatih AMD dapat digilap seterusnya mencapai tahap yang diinginkan.

“Peruntukan atau pelaburan yang besar penting demi memastikan negara dapat menghasilkan pemain bertaraf profesional pada masa akan datang. Kebanyakan pelatih yang masuk ke AMD tidak mahu keluar berikutan segala kemudahan sudah tersedia dan lengkap selain berpeluang ke peringkat lebih tinggi termasuk mewakili negara.

“Kos yang tinggi untuk setiap pelatih membuktikan bahawa untuk menghasilkan pemain berkualiti bukanlah perkara mudah terutama jika mahu membentuk mereka dari peringkat akar umbi lagi. Anggaran kira-kira RM250,000 untuk setiap pelatih adalah kos yang perlu ditanggung jika mereka yang mengikuti latihan dalam tempoh lima tahun sehingga tamat pada usia 17 tahun,” katanya ketika ditemui Arena Metro.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya mempunyai pangkalan data membabitkan 25,000 pemain berpotensi berusia bawah 17 tahun seluruh negara yang dikumpul menerusi pemantauan dan pemerhatian di setiap negeri.

“Jika sudah diterima masuk ke AMD, tidak bermakna pelatih terbabit akan terus kekal kerana mereka dinilai sebanyak tiga kali dalam tempoh setahun dan jika gagal memenuhi kriteria ditetapkan akan ditendang keluar.

“Tindakan tegas adalah kerana mahu menjaga kualiti setiap pelatih kerana mereka bakal menjadi pemain negara seterusnya mengangkat kembali mutu bola sepak ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Menurut Muhamad Yusuf, AMD mengutamakan kemahiran individu berbanding kejayaan pasukan kerana matlamat akademi adalah membentuk atau melahirkan pemain berkualiti yang mampu memberi impak besar pada skuad masing-masing nanti.

“Oleh itu, jika mereka tidak berjaya menjuarai pertandingan bukanlah bermakna pelatih itu gagal. Perkara penting adalah peningkatan membabitkan kemahiran individu dan sifat matang mereka dalam menghadapi perlawanan kompetitif.

“Kami melihat banyak aspek terhadap pelatih AMD dan sudah terbukti apabila 90 peratus produk akademi ini mewakili negara dalam kejohanan Bawah 15 dan 18 tahun di peringkat antarabangsa baru-baru ini,” katanya.

Disiarkan pada: October 19, 2019 @ 6:30am
d