arena

'Simpan pemain dalam peti sejuk'

Oleh AFP

PEP Guardiola khuatir Manchester City perlu menghabiskan ‘dua hari dalam peti sejuk’ untuk menghadapi jadual padat musim Krismas.

Liga Perdana Inggeris mendedahkan jadual perlawanan untuk Disember dan Januari semalam dan ia tidak langsung membantu City.

Kunjungan mereka ke Wolves dianjakkan dari Hari Boxing kepada 27 Disember, sebelum mereka menanti kunjungan Sheffield United ke Stadium Etihad pada 29 Disember.

Ia memberikan tempoh kira-kira 44 jam di antara kedua-dua perlawanan dan Guardiola bimbangkan keselamatan pemainnya.

“Pemain sepatutnya masuk ke dalam peti sejuk, saya tak bergurau,” kata Guardiola hari ini.

“Balik rumah, buka peti sejuk dan masuk ke sana dalam tempoh 48 jam. Jumpa anda di Stadium Etihad.

“Mungkin apabila saya pergi ke peti sejuk untuk membuat telur dadar, mungkin saya boleh bercakap dengan mereka. Jika tidak, memang tidak boleh.”

Biarpun Guardiola bimbangkan tuntutan jadual perlawanan, beliau akan meneruskan tugasnya yang disifatkannya membantu kejayaan City dalam tempoh dua tahun terakhir.

“Kami berada di bulan Oktober dan mempunyai jadi banyak perlawanan sebelum itu. Apabila saya membacanya, saya katakan ‘Ia OK’,” kata beliau.

“Saya menerima tugas ini, ada kalanya ia bagus, ada kalanya tidak. Kami bekerja lebih keras dan menguruskan dengan baik untuk melaksanakannya.

“Namun saya bimbangkan pemain. Ia satu perniagaan dan orang tidak mempedulikan pemain. Dia cedera? OK, gunakan yang lain.”

Disiarkan pada: October 19, 2019 @ 8:27am
d