arena

Fadhil dedikasi perak buat arwah bapa

Oleh Azlan Muhammad Zain

ATLET trek negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis menghadiahkan pingat perak Kejohanan Trek Asia di Korea Selatan kepada arwah bapanya yang meninggal akibat komplikasi buah pinggang pada Jun lalu.

"Sangat gembira dengan pingat ini walaupun terlepas emas dengan masa yang tipis. Pingat ini amat bermakna. Saya dedikasikan kepada arwah (Mohd Zonis Mokhtar)," jelasnya.

Catatan itu turut memperbaharui catatan peribadi terbaik selain semakin hampir memecahkan rekod kebangsaan milik Mohd Rizal Tisin 1:01.658s yang dilakukan ketika memenangi gangsa pada Kejohanan Dunia di Pruszkow, Poland pada 2009.

Dia muncul pelumba kedua terpantas dengan masa seminit 01.815 saat untuk meraih perak dalam acara satu kilometer ujian masa pada saingan 14 pelumba itu.

Emas diraih pelumba Kazshastan, Andrey Chugay yang melakukan 1:01.639 manakala gangsa milik China menerusi Qi Liu dengan masa 1:01.914 pada saingan di Velodrom Pusat Latihan Kebangsaan Jincheon.

Ia pingat pertama Fadhil di Korea Selatan selepas tewas dalam penentuan pingat gangsa bagi acara pecut berpasukan pada Khamis lalu.

Hasrat ratu trek negara, Fatehah Mustapa memburu pingat ketiga menerusi pecut individu lebur apabila ditunjukkan jalan keluar oleh jaguh Hong Kong, Lee Wai Sze.

Fatehah jelas bukan tandingan lawan apabila tewas dalam dua siri perlumbaan manakala Anis Amira Rosidi terkandas pusingan pertama kepada lawan dari China.

Fatehah sudah meraih dua gangsa di Korea Selatan dalam 500 meter ujian masa dan pecut berpasukan bersama Anis Amira.

Jaguh negara, Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom dijadual turun dalam acara pecut individu esok.

Disiarkan pada: October 19, 2019 @ 7:46pm
d