arena

Messi, Suarez, Griezmann bedil Eibar

Oleh Reuters

TRIO ‘MSG’ Barcelona akhirnya membuktikan reputasi mereka selepas Lionel Messi, Luis Suarez dan Antoine Griezmann menjaringkan gol ketika menewaskan Eibar 3-0 di tempat lawan sekali gus membolehkan juara La Liga itu menduduki takhta liga malam ini.

Skuad Catalan itu kini mendahului carta buat kali pertama musim ini dengan 19 mata daripada sembilan perlawanan tetapi Real Madrid yang mempunyai 18 mata boleh memintas kembali jika menewaskan Real Mallorca, awal pagi ini.

Griezmann meletakkan Barca di depan pada minit ke-13 apabila Clement Lenglet melorongkan bola dari bahagian pertahanan kepada penyerang Perancis itu yang tenang menyempurnakannya.

Tiga penyerang itu kemudian bergabung untuk dua jaringan seterusnya yang menunjukkan petanda keserasian trio itu selepas terjejas angkara kecederaan Messi dan Suarez.

Suarez melarikan bola ke kawasan lawan membolehkan Griezmann melorongkan buat Messi yang menjaringkan gol pada minit ke-58.

Griezmann menjadi arkitek buat gol ketiga yang menghantar bola jauh kepada Messi yang kemudiannya memberikannya kepada Suarez ketika gawang sudah terbuka pada minit ke-66.

Disiarkan pada: October 19, 2019 @ 10:42pm
d