arena

Sathia waspada beraksi di Shah Alam

Oleh Rizar Mohd Noor

PENGENDALI Selangor, B Sathianathan berpuas hati dengan persembahan barisan pemainnya yang berjaya memberi tentangan sengit sebelum tewas 1-2 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Walaupun jurulatih berpengalaman itu mengakui hakikatnya Selangor tewas 1-2 dalam perlawanan itu namun keputusan itu tidak menggusarkan dirinya sebaliknya optimis skuad The Red Giants akan bangkit pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

"Secara keseluruhannya saya mengucapkan tahniah kepada pemain saya. Walaupun pada aksi babak pertama kelemahan ketara kita ialah terlalu kelam-kabut dan kerap hilang bola tetapi pada babak kedua pemain saya beri tentangan sengit dan mengimbangi kekuatan JDT.

"Kita juga berpeluang menjaringkan gol, saya hormati JDT kerana mereka pasukan yang baik namun kita ada 90 minit lagi dan jika anda tanya saya beraksi di tempat sendiri atau lawan, ia sebenarnya sama saja. Harap ia berpihak kepada Selangor.

"Apa yang saya lihat dalam perlawanan berintensiti tinggi pemain saya menunjukkan kesungguhan dan membentuk persefahaman jitu di setiap bahagian dan ia terbukti apabila kita hanya tewas tipis sahaja," katanya.

Ditanya posisi tengah jelas memihak skuad Harimau Selatan, Sathiananthan mengakui kelibat Hariss Harun dan Leandro Velazquez membentuk kombinasi mantap sehingga bagi pemainnya menguasai bahagian itu.

Bagaimanapun, kelemahan bahagian tengah berjaya diatasi apabila setiap pemain bertindak cemerlang ketika bertahan terutama barisan pertahanan.

Beliau mengakui terpaksa merombak barisan pemain pada saat akhir selepas pemain import, Endrick Dos Santo tidak dapat diturunkan pada saat akhir kerana masih mengalami kecederaan dan terpaksa menggunakan khidmat Sandro Da Silva Mendonca untuk mengemudi jentera tengah.

"Doktor pasukan memaklumkan jika disuntik Endrick tidak boleh main. Jadi saya menyenaraikan Sandro yang sudah dua bulan tidak beraksi.

"Saya berpuas hati dengan persembahan pemain itu dan bukan mudah untuk beraksi lebih 75 minit dalam perlawanan menentang pasukan hebat terutama selepas agak lama tidak diturunkan.

"Ifedayo (Omosuyi) juga memainkan peranan penting dalam perlawanan itu apabila beraksi selaku penyerang tunggal dan melaksanakan tugas dengan baik serta menjaringkan gol," katanya.

Menurutnya, bukan sahaja menjaringkan gol Ifedayo hampir menambah jaringan dan ia membuktikan pasukannya mampu memberikan tentangan sengit.

"Apa pun kami harus lebih berhati-hati apabila beraksi di Shah Alam kerana JDT adalah pasukan hebat yang banyak menjaringkan gol," kata Sathiananthan.

Disiarkan pada: October 20, 2019 @ 5:01pm
d