arena

Rekrut lebih awal

Oleh Firdaus Hashim

MENYEDARI pentingnya pungutan tiga mata apabila berdepan Thailand dan Indonesia dalam aksi Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, skuad Harimau Malaya kemungkinan ‘berkampung’ lebih awal untuk menghadapi aksi itu.

Pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe berkata, latihan awal berkenaan bakal membabitkan pemain yang tidak mempunyai komitmen dalam saingan separuh akhir kedua Piala Malaysia.

Jelasnya, ia bagi memastikan tahap kecergasan pemain kekal ditahap optimum selain memperbaiki beberapa kelemahan yang berjaya dikesan pada aksi menentang Vietnam di Hanoi sebelum ini.

“Sebahagian besar pemain terbabit dalam separuh akhir Piala Malaysia, tapi ada perancangan nak bawa pemain lain berlatih awal.

“Tetapi sekali lagi kita perlu ingat kita belum sampai satu tahap yang terbaik lagi. Pemain kena bekerja keras lagi setiap latihan untuk memastikan kita berada dalam landasan terbaik,” katanya.

Malaysia yang kini menghuni tangga keempat kumpulan selepas mengharungi tiga aksi dengan mengumpul tiga mata wajib menewaskan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 November ini.

Malah, aksi berikutnya bertemu Indonesia lima hari kemudiaan di venue sama juga harus berakhir dengan kemenangan bagi menghidupkan semula peluang skuad negara untuk mengintai slot ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia.

Berdasarkan format kelayakan, juara daripada lapan pasukan dan empat naib juara terbaik akan layak ke peringkat ketiga serta mara secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia di China pada 2023.

Pasukan yang gagal berada dalam kedudukan terbaik masih berpeluang merebut 10 tiket ke Piala Asia dengan bersaing dalam pusingan ketiga Piala Asia bermula Oktober tahun depan.

Disiarkan pada: October 21, 2019 @ 6:00am
d