arena

Roma mohon maaf kepada Vieira

Oleh AFP

ROMA membuat permohonan maaf secara terbuka di atas tindakan penyokong melakukan sorakan berbaur perkauman ke atas perancang tengah Sampdoria, Ronaldo Vieira pada perlawanan Serie A Itali yang menyaksikan keputusan seri tanpa jaringan.

“AS Roma meminta maaf kepada Ronaldo Vieira kerana sorakan perkauman itu,” kata Roma dalam Twitter.

“Roma tidak bertolak ansur memerangi ejekan perkauman dalam sebarang bentuk dan kelab ini menyokong tindakan penguasa untuk mengenalpasti selain mengenakan tindakan mengharamkan individu yang didapati melakukan kesalahan perkauman terhadap pemain tengah itu.”

Sorakan monyet ditujukan kepada Vieira yang berusia 21 tahun pada penghujung babak pertama dalam perlawanan semalam dengan pengumuman dilakukan menerusi pembesar suara di stadium, tetapi perlawanan tidak ditangguhkan.

Pemain antarabangsa England bawah 21 tahun itu dilahirkan di Guinea Bissau dan dibesarkan di Portugal dan England, menyertai Sampdoria pada 2018 daripada Leeds United.

“Ini kerap terjadi, ia tidak sepatutnya begini,” kata Vieira kepada televisyen Itali, Rai Sport.

Pemain itu kemudian memuat naik di Instagram peribadinya: “Bola sepak mempunyai tanggungjawab dalam menghukum dan mengajar individu yang bodoh di dalam stadium hari ini. Bagaimanapun, ia adalah mata yang penting bagi pasukan.”

Sampdoria kemudian mengucap terima kasih kepada Roma dalam media sosial mereka dengan berkata: “Terima kasih. Bersatu hati bagi bola sepak yang lebih baik #stopracism (hentikan perkauman)”

Disiarkan pada: October 21, 2019 @ 10:57am
d