arena

Krisis kecederaan pemain Tok Gajah berakhir

Oleh Asrol Awang

SEGALANYA tampak positif buat skuad Pahang menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia berdepan Kedah di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu ini.

Ini kerana empat pemain Tok Gajah yang dihimpit masalah kecederaan iaitu Norshahrul Idlan Talaha, Muslim Ahmad, Faisal Halim dan Zuhair Aizat Mohd Nazri dijangka kembali dalam skuad.

Pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, keempat-empat pemain tidak disenaraikan pada separuh akhir pertama ketika skuad itu seri 3-3 mampu memberi impak positif.

"Sudah pasti khidmat mereka ditagih untuk mendapatkan keputusan terbaik iaitu membawa Pahang ke pentas final piala berprestij itu.

"Namun, segalanya terpulang kepada percaturan jurulatih (Dollah Salleh) untuk menyenaraikan mereka atau sebaliknya selepas mengikat Kedah 3-3.

"Jika dilihat kepada persembahan, saya berpuas hati dengan komitmen diberikan semua pemain hingga hampir mengecewakan skuad Helang Merah," katanya.

Mohammed Suffian berkata, kejayaan mengikat Kedah di Alor Setar kelmarin, membuktikan bahawa skuad Tok gajah mampu mencatat keputusan lebih bagus di laman sendiri.

Katanya, kelebihan yang ada seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin sambil dibantu kehadiran ribuan penyokong Tok Gajah nanti.

"Kami sememangnya mengharapkan sokongan padu pemain ke-12 iaitu penyokong untuk memberi sumber inspirasi meningkatkan semangat kepada pemain Pahang.

"Dengan persembahan menyakinkan seperti yang dipersembahkan pada separuh akhir pertama lalu, diharapkan jentera pertahanan lebih kebal," katanya.

Disiarkan pada: October 21, 2019 @ 4:39pm
d