arena

Mbappe tak boleh main 90 minit

Oleh AFP

MASIH bergelut dengan tahap kecergasan, pemenang Piala Dunia dari Perancis, Kylian Mbappe akan tampil buat Paris Saint-Germain pada aksi Liga Juara-Juara di Club Brugge awal pagi esok namun dia tidak akan bermain 90 minit, menurut jurulatih Thomas Tuchel.

Penyerang berusia 20 tahun itu mengalami masalah kekejangan otot paha sejak awal Ogos lalu namun hadir dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol menentang Nice hujung minggu lalu.

“Terlalu awal buatnya bermain 90 minit jadi kami akan memikirkan sama ada mahukan dia memulakan perlawanan atau masuk pada babak kedua,” kata Tuchel pada sidang media, awal pagi tadi.

“Begitu juga dengan Edi,” katanya merujuk kepada penyerang Uruguay, Edinson Cavani, yang mengalami masalah sakit pinggul berulang.

Mbappe sudah menguji tahap kecergasannya tiga kali dengan penampilan beberapa minit menentang Bordeaux dan Galatasaray.

“Mereka sudah lama terpaksa diketepikan dan ketika pemain lain menggunakan peluang mereka, kami kembali kuat dengan kehadiran mereka,” kata Tuchel.

PSG menghuni tangga teratas Kumpulan A Liga Juara-Juara dengan enam mata diikuti Club Brugge di tangga kedua dengan dua mata, manakala Galatasaray dan Real Madrid masing-masing satu mata.

Disiarkan pada: October 22, 2019 @ 10:03am
d