arena

Ujian getir bintang muda Chelsea

Oleh AFP

PASUKAN muda Chelsea akan menguji prestasi mereka di laman terbaik pembangunan pemain remaja awal pagi Khamis ini ketika mereka cuba menghalang Ajax yang mahu mengulangi persembahan mengagumkan dalam Liga Juara-Juara musim lalu.

Blues menang lima perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan selepas mengalahkan Newcastle United 1-0 hujung minggu lalu namun mereka berdepan pendahulu Kumpulan H di Amsterdam.

Ajax mempunyai purata lebih tiga gol dalam satu perlawanan di laman sendiri dan gelanggang lawan dan mereka laparkan kejayaan Eropah selepas kecewa tumpas pada separuh akhir musim lalu.

Fikayo Tomori, Ross Barkley, Mason Mount, Callum Hudson-Odoi dan Tammy Abraham semua memulakan aksi kemenangan di Stamford Bridge Sabtu lalu, kali pertama sejak 2013 lima pemain Inggeris berada dalam kesebelasan utama kelab London itu.

Mereka di tangga kedua dengan tiga mata dalam Kumpulan H selepas dua aksi pertama Liga Juara-Juara, dengan dua perlawanan berturut-turut menentang Ajax selepas ini mampu menentukan hala tuju mereka di Eropah.

“Dua perlawanan menentang Ajax amat besar kerana mereka pasukan yang kuat... gerakan pasukan dan cara mereka bermain bola sepak menjadi ujian besar buat kami,” kata jurulatih Frank Lampard dalam laman web Chelsea.

Abraham mencuri tumpuan dengan lapan gol dalam sembilan aksi liga dan gol pembukaan Chelsea ketika menang 2-1 di Lille dan Lampard menganggap pemain berusia 22 tahun itu seperti “span” kerana keinginannya untuk belajar.

“Dia mahu mendengar, untuk menjadi lebih bagus, menjaringkan lebih banyak gol, meningkatkan permainannya dan membantu rakan sepasukan. Dia mempunyai asas yang menarik dari pandangan seorang jurulatih,” ujar Lampard.

Bagaimanapun empat daripada pemain yang bermula Sabtu lalu adalah produk akademi yang menyerlah di bawah bos baharu Lampard, yang terpaksa menangani ketiadaan Eden Hazard serta larangan perpindahan UEFA dengan membawa masuk produk remaja kelab itu.

Hudson-Odoi, yang kembali baru-baru ini selepas kecederaan buku lali, mampu mengucar-ngacirkan benteng lawan dengan larian pantasnya di sayap dan pemain berusia 18 tahun itu melorongkan bola kepada Marcos Alonso bagi gol kemenangan ke atas Newcastle.

Disiarkan pada: October 22, 2019 @ 12:27pm
d