arena

Jones kata 'intip' England sia-sia...

Oleh Reuters

JURULATIH England, Eddie Jones mendakwa seseorang ‘mengintip’ sesi latihan pertama skuad England pada Ragbi Piala Dunia di Tokyo selepas pegawai pasukan ternampak kamera dalam bangunan berdekatan padang mereka.

“Terdapat seseorang dalam blok apartmen sedang melakukan rakaman tetapi ia berkemungkinan seorang peminat Jepun,” kata pengendali berasal dari Australia itu.

Biarpun padang latihan ditutup dengan bidai dan pengawal keselamatan melakukan rondaan untuk menghalang sebarang rakaman yang tidak dibenarkan, Jones tidak kisah andai sesi latihan England dirakam.

“Saya tidak peduli, ia sebahagian daripada perkara perlu dihadapi. Itulah keseronokan Piala Dunia,” katanya.

Jones berkata dia pernah melalui perkara sama tetapi kali terakhir adalah pada 2001.

“Anda tidak perlu melakukannya lagi kerana anda dapat lihat segala-galanya,” katanya.

“Anda dapat melihat setiap orang berlatih di YouTube. Tiada nilai untuk melakukan perkara seperti itu, ia benar-benar kosong!.”

Lawan England pada separuh akhir Sabtu ini iaitu New Zealand dan pegawai pertandingan mungkin ambil kisah dakwaan terbaru Jones itu selepas membuat tuduhan menjelang saingan Enam Negara pada Januari lalu.

“Saya pasti jurulatih Wales Warren Gatland menghantar seseorang apabila kami menjalani latihan,” katanya ketika itu.

Dia juga memberi amaran peluang untuk mengintip pada Piala Dunia ketara kerana beberapa padang di Jepun dikelilingi oleh bangunan pejabat.”

Disiarkan pada: October 22, 2019 @ 4:10pm
d