arena

'Tak mustahil sambar emas'

Oleh Saiful Affendy Sapran

MESKIPUN hanya mempertaruhkan barisan atlet muda, pasukan Muay Thai negara tetap mahu menyumbang sekurang-kurangnya satu pingat emas untuk kontinjen negara pada temasya Sukan SEA Filipina bermula 30 November depan.

Pengurus pasukan, Saifulnizam Shahar berkata, keputusan untuk menghantar barisan pemain muda selepas pihak penganjur sendiri pada asalnya meletakkan peraturan hanya atlet di bawah umur 27 tahun layak beraksi di temasya berkenaan.

“Namun pada awal tahun ini mereka mengubah peraturan apabila membenarkan atlet berumur sehingga 40 tahun bertanding.

“Tapi kami tetap meneruskan keputusan menghantar atlet muda sebagai persiapan untuk Sukan Olimpik Remaja 2024,” katanya pada sidang media hari ini.

Jelas Saifulnizam, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk anak buahnya memenangi emas meskipun negara seperti Thailand, Laos dan Myanmar dilihat mendominasi acara itu.

“Tapi mereka lebih tertumpu kepada perlawanan domestik dan profesional sedangkan di Sukan SEA hanya mempertandingkan perlawanan amatur iaitu menggunakan pelindung badan.

“Saya tidak dapat memberikan spesifik atlet mana yang disasarkan untuk memenangi pingat emas kerana segala-galanya juga bergantung kepada proses undian.

“Tapi jika atlet negara bertemu lawan pilihan di final, maka saya percaya pingat emas mampu dimenangi oleh atlet kita,” katanya.

Skuad Muay Thai terdiri daripada tujuh atlet muda yang membabitkan enam kategori.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Disiarkan pada: October 22, 2019 @ 7:58pm
    d