arena

Sterling tak puas sekadar hatrik

Oleh AFP

RAHEEM Sterling mengakui dia tidak puas sekalipun menjaringkan hatrik mengagumkan untuk melengkapkan kemenangan besar 5-1 Manchester City ke atas Atalanta pada aksi Liga Juara-Juara di Manchester, awal pagi tadi.

Sterling meledak tiga gol dalam tempoh 11 minit pada babak kedua di Stadium Etihad selepas mengumpan dua gol Sergio Aguero sebelum rehat.

Ia tidak cukup menggembirakan pemain sayap England itu ketika dia mendedahkan kekecewaannya kerana gagal menambah satu gol lagi.

“Saya patut menjaringkan empat gol. Riyad Mahrez melorongkan bola dengan cantik dan saya sudah bersedia untuk meraikannya. Tapi ia disia-siakan begitu saja. Sepatutnya saya boleh menyudahkannya,” kata Sterling kepada BT Sport.

Atalanta membuat kejutan awal apabila mendahului sebelum persembahan memukau Sterling membantu City menang tiga aksi berturut-turut dalam Kumpulan C.

Sterling gembira dengan cara pasukan kendalian Pep Guardiola bersabar menangani asakan awal Atalanta.

“Amat sukar apabila mereka mengamalkan corak permainan satu kawal satu, sukar untuk mendapat ruang. Tapi kami tetap bersabar, menunggu peluang dan menyudahkannya apabila ia hadir,” ujar Sterling.

Pertahanan City, John Stones, masuk menggantikan Rodri yang cedera pada babak pertama, mendedahkan pasukannya menuai hasil susulan kerja rumah yang mereka lakukan.

“Kami berdepan pasukan yang sukar. Saya tidak pasti penyokong Inggeris mengetahui mengenai Atalanta atau tidak dan kami melakukan kajian mengenai mereka sepanjang minggu ini,” katanya.

“Kami mendapat gol bagus pada masa yang tepat dan ia menyemarakkan semangat kami untuk bangkit dan kemudian mereka menyudahkan tugas ini.”

Disiarkan pada: October 23, 2019 @ 1:47pm
d