arena

Elak terjebak perkara negatif

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

ATLET Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengelak daripada terjebak dengan perkara negatif termasuk terbabit dalam penggunaan dadah ketika terbabit dalam sebarang kejohanan disertai.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, sekiranya mereka terbabit dalam pengambilan bahan terlarang seperti dadah secara tidak langsung mencemar imej pasukan itu sebagai pelaksana penguatkuasaan undang-undang.

Katanya, pada masa sama setiap atlet PDRM diharap dapat menerapkan nilai integriti tinggi dan komitmen jitu dalam usaha melakar lebih banyak kejayaan.

“Setiap tahun dalam acara sukan sama ada di persada antarabangsa mahupun dalam negara, kadang kala akan terjadi kes atlet terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

“Tindakan itu bukan sahaja bakal mencemarkan diri atlet terbabit, tetapi nama PDRM sendiri.

“Saya sering mengarahkan setiap pengurus pasukan untuk memastikan disiplin atlet mereka kerana jika terpalit dengan dadah, ia adalah sesuatu yang memalukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Malam Anugerah Sukan PDRM 2018 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, semalam.

Pada majlis itu, Sarjan Emma Firyana Saroji yang mewakili negara dalam sukan boling padang dinobatkan sebagai Olahragawati PDRM.

Manakala Olahragawan PDRM diungguli Lans Koperal Mohd Taqiyuddin Hamid menerusi acara Silat Olahraga.

Sementara itu, Asisten Superintendan Wong Tee Kui yang pernah mewakili negara dalam acara baling tukul besi dinobatkan sebagai Tokoh Sukan PDRM.

Disiarkan pada: October 23, 2019 @ 3:34pm
d