arena

Vermeulen mahu benam Wales

Oleh Agensi

TONGGAK Afrika Selatan, Duane Vermeulen pernah diangkat sebagai wira pasukan ketika kejayaan pasukannya menewaskan Wales selepas bertindak sebagai penyelamat dengan gerakan mengelirukan.

Ia selepas kali terakhir Afrika Selatan menewaskan Wales, Vermeulen pemain serangan berbadan tegap berjaya menyelinap masuk ketika pergelutan antara kedua-dua pemain dengan baki permainan enam minit pada suku akhir Ragbi Piala Dunia 2015.

Selepas berjaya menjarakkan diri daripada barisan pertahanan lawan, dia tanpa menoleh ke belakang melayangkan badan untuk memungut mata di sudut kiri bagi try kemenangan di Twickenham.

Pasukan Springboks menewaskan juara Enam Negara kendalian Warren Gatland.

Pemain berusia 33 tahun yang sudahpun mempunyai 52 kap ujian mungkin tampil dengan sesuatu yang luar biasa sekali lagi di Stadium Antarabangsa Yokohama pada Ahad ini.

“Ia berlaku secara tidak langsung dan saat yang cukup diingati,” kata Vermeulen selepas sesi latihan.

“Saya tidak tahu sama ada saya berada dalam barisan pemain yang akan diturunkan atau tidak. Kita akan lihat pada hujung minggu ini jika saya dapat mencuba sesuatu yang berbeza atau melakukan sesuatu yang baru.

“Saya pasti memberitahu kamu ia bukan mengenai sepakan - walaupun saya diberi peranan untuk melakukan sepakan. Ia mungkin sesuatu yang lain.”

Bekas bintang Stormers, yang akan menyertai Kubota Spears dalam Liga Utama Jepun selepas Piala Dunia, sedar Springboks perlu meningkatkan permainan di bahagian serangan dan berdisiplin tinggi.

Dia mengakui mereka berasa tertekan di bahagian pertahanan apabila pemain prop, Tendai Mtawarira dilayangkan kad kuning menentang Jepun, dan mereka terlepas beberapa peluang memperoleh mata.

Namun Vermeulen berasakan peluang sama rata pada saingan separuh akhir, Springboks ‘bukan robot’.

“Selagi ia bukan trend untuk meneruskan perlawanan demi perlawanan, dan selagi ia tidak ada kaitan dengan kesilapan sistem dan berlaku dengan cara yang kami mahukan jadi kami tetap puas hati dengannya,” katanya.

Sasaran untuk membalas dendam pastinya berada di minda Afrika Selatan walaupun mungkin berdepan cabaran besar mencari formula kemenangan selepas melihat aksi kemenangan Wales ke atas Perancis pada Ahad lalu.

“Jika dilihat pada perlawanan menentang Perancis, pasukan Perancis padat di bahagian pertahanan dan apabila berada di dalam kawasan lawan Perancis mampu melakukan larian dan boleh membuat gerakan untuk mendapat mata,” kata Vermeulen salah seorang pemain ‘benteng’ kebal di antara pemain ragbi Afrika Selatan.

“Bukan kerana pasukan itu kamu tidak mampu memungut mata tetapi kamu harus memanfaat peluang bagaimana yang diperlukan dan bagaimana melakukannya.

“Sememangnya tekanan tetap ada, pada setiap perlawanan. Ia gelanggang berkecuali - mereka bermain jauh dari tempat sendiri, kami juga beraksi luar dari gelanggang sendiri.

“Jadi bukan seperti minggu lalu di mana saya seperti merasakan seluruh dunia menentang pasukan kami, kerana semua orang berharap Jepun akan menang. Ia adalah peluang 50-50.”

Disiarkan pada: October 23, 2019 @ 9:05pm
d