arena

Reds menang, Klopp tak seronok

Oleh Reuters

LIVERPOOL menghasilkan persembahan serangan yang memukau untuk mengalahkan Racing Genk 4-1 pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi namun pengurus Juergen Klopp menyatakan beliau tidak berasa seronok.

Dua gol sumbangan Alex Oxlade-Chamberlain, yang beraksi perlawanan pertamanya dalam pertandingan itu bagi tempoh 18 bulan dan jaringan Sadio Mane serta Mohamed Salah menampakkan keputusan yang memberangsangkan.

Namun ada beberapa detik sukar buat juara Eropah itu ketika mereka menang di gelanggang lawan pada peringkat kumpulan buat kali pertama dalam tempoh dua tahun.

Genk tidak bernasib baik apabila percubaan Mbwana Samatta tidak disahkan pada babak pertama dan mensia-siakan beberapa peluang lain untuk menyamakan kedudukan sebelum Liverpool mengganas.

Itulah standard yang ditetapkan Klopp ketika beliau tidak begitu terpikat sekalipun pasukannya melonjak ke tangga kedua Kumpulan E dengan enam mata, satu mata di belakang Napoli.

“Saya tidak begitu menikmati perlawanan ini tapi saya seronok dengan keputusannya,” kata Klopp, pasukannya kecewa selepas rentetan 17 kemenangan dalam Liga Perdana Inggeris berakhir apabila seri 1-1 di Manchester United, Ahad lalu.

“Kami mempunyai dua perlawanan di gelanggang lawan yang sukar kerana alasan berbeza. Saya tidak tahu di mana kami ketika ini. Apa yang saya tahu kami perlu berada di mana Ahad ini (menentang Tottenham Hotspur).

“Ada detik yang bagus. Kami bermula baik tapi hilang bola dengan mudah, bola yang tidak dijangka. Sudah tentu, ia sukar untuk dipertahankan. Gol pertama kami cemerlang – semua empat gol menakjubkan.”

Klopp mempunyai pilihan yang banyak di bahagian serangan dengan kembalinya Oxlade-Chamberlain bermakna satu lagi pilihan bertambah.

Dia membuka tirai jaringan hanya selepas dua minit dan golnya pada minit ke-57 amat mengagumkan.

Ia gol ke-200 Liverpool dalam Liga Juara-Juara namun Klopp tidak begitu memuji Oxlade-Chamberlain dengan komen dia “boleh melakukan yang lebih bagus lagi.”

Disiarkan pada: October 24, 2019 @ 7:50am
d