arena

Tidak konsisten punca tewas

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

PUJIAN harus diberikan kepada skuad futsal negara biarpun gagal dalam misi ke final Kejuaraan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) buat kali ketiga berturut-turut dalam masa tiga tahun bagi memburu 'Raja Futsal Asia Tenggara'.

Tewas semua tiga perlawanan Kumpulan B pada edisi kali ini, anak didik Chiew Chun Yong tetap memberikan tentangan sengit malah berjaya merobek gawang lawan.

Tunduk 2-3 kepada juara edisi 2010, Indonesia dalam perlawanan pembukaan di Stadium Tertutup Phu Tho pada Isnin, skuad futsal berputih mata apabila kalah kepada Australia (4-6) dan tuan rumah, Vietnam (2-4) pada perlawanan terakhir semalam.

Reputasi selaku naib juara Kejuaraan Futsal AFF 2017 dan 2018, Sukan SEA 2017 dan terbaru juara kejohanan futsal jemputan empat penjuru di Chengdu, China bulan lalu, nyata tidak memberi impak besar kepada skuad negara dalam saingan kali ini.

Bagi Chun Yong, beliau sudah mengenal pasti beberapa aspek kelemahan skuad kebangsaan termasuk permainan tidak konsisten.

"Jika diperhatikan, pemain mampu beri saingan dalam ketiga-tiga perlawanan, namun taktikal pemainan mereka tidak begitu kemas dan konsisten sebab perubahan pemain baru yang masih kurang pengalaman.

"Kita beri tentangan kuat terutama di separuh masa kedua. Saya akui ini tidak patut berlaku kerana perlu kekal konsisten dari mula hingga tamat perlawanan," katanya dihubungi hari ini. Menurutnya, biarpun pemainnya dapat bangkit semula, kesilapan kecil seperti hantaran tidak tepat menyebabkan dihukum lawan.

"Apapun saya berbangga semua pemain mempamerkan semangat juang tinggi dengan berusaha sehingga ke wisel penamat. Mungkin juga faktor persiapan pasukan yang singkat turut mempengaruhi persembahan pemain kali ini. Berbanding lawan, seperti Indonesia dan Vietnam yang konsisten berlatih dan menyertai perlawanan antarabangsa sejak 2017 lagi," katanya.

Chung Yong bagaimanapun menegaskan beliau tidak mahu menjadikan ia alasan dan mengambil tanggungjawab atas kegagalan pasukannya.

"Fokus saya selepas ini untuk persiapan pasukan bagi AFF 2020," katanya. Pencapaian terbaik Malaysia ialah muncul naib juara lima kali iaitu pada 2003, 2005, 2010, 2017 dan 2018. Sementara itu, perlawanan separuh akhir esok menemukan juara 14 kali Thailand dengan Vietnam, manakala Indonesia bertemu Myanmar.

Disiarkan pada: October 24, 2019 @ 5:43pm
d