arena

'Pulun Kedah Pulun' azimat Lang Merah

Oleh Izzali Ismail

SORAKAN dan sokongan penyokong Kedah untuk skuad Lang Merah tonik terbaik membangkitkan semangat pemain yang akan berjuang habis-habisan pada aksi separuh akhir kedua menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.

Menurut kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar, kehadiran serta sokongan penyokong setia Kedah di Stadium Darul Makmur dapat membantu rentak persembahan pasukan dalam memburu kemenangan seterusya layak ke pentas akhir.

"Sokongan padu semua penyokong Kedah sangat diperlukan kerana dijangkakan saingan akan menjadi begitu sengit memandangkan peluang kedua-dua pasukan masih terbuka. Sokongan sepanjang 90 minit sudah pasti memberi kekuatan buat kami yang akan beraksi di tempat lawan dengan stadium bakal dipenuhi ramai penyokong skuad Tok Gajah.

"Jadi dengan bergemanya sorakan 'Pulun Kedah Pulun' di Kuantan nanti, mampu meningkatkan lagi motivasi dan semangat untuk Kedah berjuang hingga ke hujung perlawanan," katanya.

Pemain berpengalaman Kedah itu juga mengakui sokongan penyokong selama ini menjadi faktor penting dalam setiap perlawanan dilalui skuad berkenaan.

"Kita pernah melalui waktu sukar apabila ketinggalan, namun dengan sokongan daripada penyokong serta semangat ditunjukkan pemain, kita mampu bangkit dengan kemenangan,” katanya.

Disiarkan pada: October 24, 2019 @ 6:32pm
d