arena

Venue belum siap cetus gelisah

Oleh Saiful Affendy Sapran

"AGAK mengecewakan kerana Sukan SEA Filipina semakin hampir tetapi banyak venue masih belum siap namun tuan rumah mengambil maklum berkenaan isu ini."

Demikian luahan Timbalan Ketua Kontinjen Negara (CDM) ke Sukan SEA Filipina, Nurul Huda Abdullah menjawab keluhan beberapa persatuan sukan kebangsaan yang berasa bimbang kerana venue pertandingan terutamanya di Manila masih tidak siap atau ditukar ke lokasi lain. Jelas Nurul Huda, persiapan agak lewat menyebabkan Filipina berdepan pelbagai isu ketika ini termasuklah venue pertandingan.

"Apa yang saya faham mereka ketika ini mengejar masa. Pada mulanya mereka mahu menarik diri tetapi kemudian kekal mahu menjadi tuan rumah. Mereka juga dikatakan berdepan masalah kewangan tetapi tuan rumah mengetahui segala masalah ini," katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke atas pasukan Muay Thai dan Kickboxing hari ini.

Justeru itu katanya, beliau bersama satu lagi Timbalan CDM, Ahmad Faedzal Md Ramli dan Ketua CDM, Datuk Megat Zulkarnain Omardin akan membangkitkan isu berkenaan pada Mesyuarat Ketua Kontinjen di Filipina bermula Isnin sehingga Khamis ini.

"Ini antara isu utama akan kami bangkitkan dan sangat penting. Sebab Sukan SEA hanya berlangsung kira-kira 30 hari daripada sekarang. Jadi saya harap tuan rumah dapat mencari jalan penyelesaian," katanya. Sukan SEA Filipina akan membuka tirai pada 30 November depan.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Disiarkan pada: October 24, 2019 @ 10:14pm
    d