arena

Pepe selamatkan maruah Arsenal

Oleh Reuters

NICOLAS Pepe mengelak Arsenal daripada malu dengan dua sepakan percuma mengagumkan ketika mereka menang tipis 3-2 ke atas Vitoria Guimaraes pada aksi Liga Europa awal pagi tadi sekalipun ketinggalan dua kali.

Anak buah Unai Emery kelihatan hampir kalah, tiga hari selepas tewas kepada Sheffield United dalam Liga Perdana Inggeris, namun pemain gantian Pepe mengekalkan Gunners di puncak Kumpulan F dengan sembilan mata maksimum.

Vitoria mendahului 2-1 menerusi gol babak pertama bekas prospek Tottenham Hotspur, Marcus Edwards dan Bruno Duarte selepas pemain remaja Brazil, Gabriel Martinelli menyamakan kedudukan buat tuan rumah – gol kelimanya dalam tiga aksi.

Penyokong tuan rumah semakin berasa tidak selesa apabila Emery membawa masuk pemain termahal kelab dari Ivory Coast, Pepe dari bangku simpanan pada minit ke-75 namun lima minit kemudian dia melencongkan bola masuk dengan sepakan kaki kiri dari 20 meter selepas Matteo Guendouzi dikasari.

Dia mengulangi gol yang hampir sama dalam apa yang dilihat sepakan terakhir perlawanan untuk memastikan kemenangan ketujuh berturut-turut Arsenal pada pertandingan Eropah di laman sendiri.

Keputusan itu bagaikan sukar diterima Vitoria yang bermain hebat hingga keletihan pada lewat aksi dan sekalipun menang, persembahan Arsenal hambar dan pemain mereka diejek penyokong sendiri ketika rehat.

Pepe hanya meraih satu gol dalam 11 penampilan sejak menyertai kelab itu dari Lille namun dua gol sensasinya menentang Vitoria patut menjadi pencetus semangat buatnya, menurut Emery.

“Dia boleh meraih keyakinan bermula malam ini. Apabila dia menjaringkan gol ia bagus untuknya dan pasukan. Dia semakin bagus dan dia membantu kami memenangi perlawanan malam ini,” kata Emery, yang membawa masuk Guendouzi dan Dani Ceballos selepas rehat.

“Pepe seorang pemain yang amat bagus dan kami amat percaya dengan kebolehannya. Kami amat gembira buatnya kerana dia meledak dua gol dan dua sepakan percuma yang sempurna.

“Dia semakin meningkat dan malam ini dia menyumbat dua gol, penting buat kami dan dia. Kami tidak bermain seperti yang dimahukan tapi kami mempamerkan semangat yang bagus.”

Disiarkan pada: October 25, 2019 @ 8:24am
d