arena

Wolves bangkit atasi Slovan

Oleh Agensi

WOLVERHAMPTON Wanderers mempamerkan kebangkitan mengagumkan sebelum mengalahkan Slovan Bratislava 2-1 pada aksi Liga Europa di Bratislava awal pagi tadi sekali gus melonjak ke tangga kedua Kumpulan K.

Ketinggalan ketika rehat susulan rembatan Andraz Sporar yang terbias pada minit ke-11, Wolves menjaringkan dua gol dalam tempoh lima minit pada babak kedua menerusi Romain Saiss dan penalti Raul Jimenez.

Pemain tengah Maghribi, Saiss menyamakan kedudukan pada minit ke-58 dengan rembatan yang patut diselamatkan penjaga gol Dominik Greif sebelum Jimenez dijatuhkan Vernon de Marco - penyerang Mexico itu sendiri bangkit menyempurnakan sepakan penalti.

Pemain gantian Diogo Jota dibuang padang pada minit ke-87 kerana dilayangkan dua kad kuning dalam tempoh seminit namun Wolves berjaya mempertahankan kedudukan untuk meraih kemenangan mengagumkan.

Perlawanan itu secara rasminya dimainkan ‘secara tertutup’ kerana ejekan perkauman dan kain rentang ketika aksi playoff Liga Europa di Stadium Tehelne Pole.

Bagaimanapun, Slovan dibenar memberi tiket kepada sekolah dan akademi bola sepak, bermakna tuan rumah mendapat sokongan 20,000 kanak-kanak di ibu negara Slovakia itu.

Wolves menamatkan separuh kempen peringkat kumpulan satu mata di belakang pendahulu Sporting Braga - yang menang 2-1 ke atas Besiktas di Turki - selepas meraih kemenangan kedua berturut-turut.

Disiarkan pada: October 25, 2019 @ 9:40am
d