arena

England, All Blacks sama-sama yakin

Oleh Reuters

SETIAP skuad, setiap lawan, setiap kem latihan - setiap keputusan dilakukan Eddie Jones dalam dua setengah tahun lalu - semuanya terarah kepada pertembungan di Yokohama petang esok apabila England berdepan New Zealand pada separuh akhir Piala Dunia Ragbi.

Sebaik undian pada Mei 2017 disempurnakan, Jones sedar England dan All Blacks mungkin bertemu pada separuh akhir dan jika beliau mahu melunaskan impian menjulang Piala Webb Ellis, beliau perlu melepasi halangan mereka terlebih dahulu.

Sebagai pasukan kebangsaan paling dominan dalam semua sukan, All Blacks satu halangan yang tidak mudah dilepasi. Mereka memburu kejuaraan ketiga berturut-turut dan tidak kalah aksi Piala Dunia sejak Perancis mengejutkan mereka pada suku akhir 12 tahun lalu.

Angka juga tidak begitu bagus buat England apabila mereka menilai rekod sendiri menentang New Zealand - tujuh kemenangan daripada 41 perlawanan dan hanya sekali menang pada 2012, pada pusingan 16 terakhir.

Namun mereka hadir pada pertembungan besar esok penuh keyakinan dan percaya mereka mempunyai keupayaan serta kekuatan untuk menundukkan pilihan utama itu sekali gus layak ke final buat kali pertama sejak kalah di tangan Afrika Selatan pada 2007.

“Kami begitu yakin memikirkan kami akan layak ke separuh akhir jadi selama dua setengah tahun kami membina pasukan untuk bermain menentang New Zealand,” kata Jones.

“Ada cara tertentu anda perlu bermain menentang mereka dan pastinya kami sudah mencuba menyerapkannya dalam senjata taktikal kami. Kami tidak perlu mengetengahkan perkara baharu minggu ini.”

New Zealand hadir pada kejohanan itu dengan ramai menyangkakan sedikit kemerosotan selepas kalah kepada Afrika Selatan dan Australia namun mereka tetap mencetus gerun selepas membelasah Springboks pada aksi pertama kumpulan serta membenam Ireland pada suku akhir dengan permainan sepasukan menakjubkan.

“England pasukan yang mengagumkan dalam beberapa kejohanan dan kami amat menghormati apa yang mereka lakukan dalam tempoh empat tahun terakhir,” kata jurulatih All Blacks, Steve Hansen. “Ia satu pertembungan besar.”

Disiarkan pada: October 25, 2019 @ 2:30pm
d