arena

Nwakaeme, Kaimbi senjata ampuh Pahang

Oleh Asrol Awang

GANDINGAN Dickson Nwakaeme dan Lazarus Kaimbi tetap menjadi taruhan Pahang apabila berdepan Kedah pada separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, malam esok. 

Pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh berkata, dua penyerang import, masing-masing dari Nigeria dan Namibia itu berada pada prestasi terbaik untuk merobek gawang skuad Helang Merah. 

"Ketika ini, saya tiada masalah di bahagian serangan kerana Nwakaeme dan Kaimbi menjadi pihanan utama untuk memberi tekanan kepada pertahanan lawan. 

"Saya percaya dua penyerang import ini dapat membantu manakala pemain lain di bahagian tengah dan pertahanan membantu memperkasakan pasukan," kata Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan. 

Dalam saingan Piala Malaysia Nwakaeme sudah menjaringkan tujuh gol termasuk satu gol ketika Pahang seri 3-3 berdepan Kedah manakala lima gol pula disumbangkan oleh Kaimbi. 

Pada masa sama, beliau percaya pemain di posisi lain juga boleh membantu dari segi menghasilkan jaringan kerana mereka sudah membuktikannya ketika seri 3-3 pada separuh akhir pertama lalu. 

Katanya, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Nor Azam Azih, masing-masing menyumbangkan satu gol dan sentuhan mereka amat dinantikan. 

"Bagi saya, segala percaturan diharap menjadi untuk memastikan slot final Piala Malaysia menjadi milik Pahang musim ini. 

"Kelebihan yang ada iaitu bermain di laman sendiri tidak perlu dipersia-siakan selepas pemain beraksi dengan baik di Alor Setar biarpun mencatat keputusan seri. 

"Saya harap kesebelasan utama yang diturunkan esok dapat bermain pada tahap terbaik dan mencapai misi ke pentas final," katanya. 

Disiarkan pada: October 25, 2019 @ 6:05pm
d